Martabat Bahasa Melayu, Akta DBP 1959 Perlu Dipinda

33

22 JUN: Kerajaan disarankan agar meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi memperkasakan dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. 

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, pindaan tersebut selaras dengan hasrat penubuhan DBP sejak 65 tahun lalu untuk menggerakkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

“MBM ingin mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan selamat ulang tahun DBP yang ke-65 sambil mengulangi sokongan berterusan supaya Akta DBP 1959 dipinda.

“Tujuan pindaan yang dicadang sejak tahun lepas adalah untuk memberi kuasa kepada DBP mengenakan tindakan terhadap pihak yang ingkar kepada penggunaan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

JUFITRI

“Seksyen terbabit memperuntukkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara,” katanya menerusi kenyataan media, di Facebook miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, Jufitri memaklumkan, berdasarkan pemerhatian MBM, penggunaan bahasa Melayu khususnya dalam mesyuarat dan majlis rasmi kerajaan masih di tahap kurang memuaskan.

Malah, lebih mengecewakan beliau memberitahu pihaknya mendapati bahasa Inggeris turut digunakan secara berleluasa tanpa memohon keizinan untuk menggunakannya. 

“MBM sentiasa mendokong dasar Mendaulatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris dan menyeru pemimpin belia serta anak muda Malaysia terus yakin dan berbangga untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu; bahasa komunikasi; bahasa perpaduan dan bahasa global masa depan.

“Pada masa sama, bahasa Inggeris wajib diperkasakan di samping menguasai bahasa-bahasa asing lain. Semoga DBP terus sakti berbakti mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa global,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.