77 kes kematian, Selangor catat angka tertinggi hari ini

40

22 JUN: Seramai 77 individu maut akibat wabak COVID-19 di Malaysia hari ini sekali gus menjadi jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 4,554 kes atau 0.64 peratus daripada 705,762 kes secara keseluruhannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu 70 kes kematian direkodkan hari ini membabitkan rakyat tempatan, manakala tujuh adalah warga asing.

“Selangor menjadi negeri mencatatkan kes kematian tertinggi 32 kes diikuti Negeri Sembilan (12), Johor (8), Sarawak (7), Kuala Lumpur (5), Melaka (4), masing-masing tiga kes di Sabah dan Labuan, serta masing-masing satu kes di Pahang, Perlis, dan Terengganu.

“Kebanyakan pesakit meninggal dunia hari ini adalah berusia antara 25 hingga 91 tahun dan mempunyai sejarah menghidap pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang dan masalah jantung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengesahkan terdapat 62,027 kes aktif COVID-19 di seluruh negara ketika ini dengan 875 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 445 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata KKM juga mengesan 21 lagi kluster baharu COVID-19 di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Sarawak, Kedah dan Melaka, dalam tempoh 24 jam lalu.

Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan itu jumlah keseluruhan kluster COVID-19 di Malaysia kini menjadi 2,666 kluster termasuk 1,816 kluster sudah tamat dan 850 kluster masih aktif.

“Daripada 21 kluster baharu berkenaan 13 membabitkan kluster tempat kerja, lima berkaitan komuniti serta masing-masing, satu kumpulan berisiko tinggi, pusat tahanan dan pendidikan tinggi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.