11 individu beri keterangan, menteri ditahan di SJR Kemaman

50

22 JUN: Seramai 11 individu telah memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi,  Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali ditahan bersama seorang wanita ketika sekatan jalan raya (SJR) di Perasing, Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan Unit Jabatan Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah susulan penularan hantaran yang mendapat 9,300 perkongsian selain memaparkan gambar menteri tersebut bersama seorang wanita.

Abdul Jalil berkata polis menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhuhung hantaran bertajuk “tular whatsapp Khairuddin ditahan di Perasing, Terengganu” yang dimuat naik di laman sesawang info negara kini pada 28 Mei 2021 jam 4.50 petang.

ABDUL JALIL

“Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab memuat naik hantaran tersebut dan akan merakam percakapan individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang  tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber rasmi berhubung siasatan kes ini.

“Sebarang bentuk penyebaran palsu dengan menggunakan platform media sosial merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Bukit Aman dilaporkan membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti kesalahan yang berlaku ketika menteri itu melalui sekatan jalan raya (SJR). Kertas inkuiri dibuka terlebih dahulu bagi memastikan sama ada berlaku kesalahan dalam kejadian berkenaan.

Siasatan juga dilakukan bertujuan untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di SJR itu. Isu Khairuddin diperiksa di SJR Perasing kecoh di media sosial apabila ia didakwa ditahan bersama usahawan tudung yang juga bekas isteri seorang selebriti pada 16 Mei lalu.

Berikutan itu, Khairuddin tampil, menafikan sekeras-keras gosip liar yang mendakwa beliau mempunyai hubungan istimewa dengan Mawar Karim iaitu bekas isteri kepada pelakon, Fizo Omar, seperti digembar-gemburkan di media sosial baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mengesahkan segala cerita yang disensasikan kononnya beliau ditahan bersama Mawar ketika melalui SJR di Perasing, Kemaman, Terengganu, baru-baru ini adalah tidak benar dan berniat menjatuhkan reputasinya semata-mata.

Berikutan itu, Khairuddin menegaskan beliau akan mengambil tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati menulis, menyiarkan atau menyebarkan berita palsu serta tidak benar terbabit.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.