1,000 Keluarga Palestin Terima Sumbangan UMNO

137

22 JUN: Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) melalui Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) menyalurkan bekalan makanan dan keperluan harian kepada 1,000 keluarga Palestin di empat kem pelarian di Jordan, semalam. 

Ketua Misi HM4P, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, empat kem pelarian Palestin yang menerima sumbangan bekalan makanan dan keperluan harian yang mencukupi untuk tempoh sebulan bagi satu keluarga ialah di Al-Baqa’a, Al-Rusaifah, Hitthin dan Wahadad.

“Oleh kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, proses agihan hanya dapat dilakukan di kem Al-Baqa’a manakala bantuan selebihnya ke kem lain akan disalurkan melalui Lajnah Zakat Jordan.

“Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban pelarian Palestin termasuk ibu tunggal dan warga emas ketika berdepan kesusahan hidup akibat pandemik COVID-19,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini. 

UMNO memberi sumbangan barangan keperluan pelarian kepada empat kem Pelarian Palestin di Jordan, Mesir semalam.

Kem Al-Baqa’a antara kem pelarian padat di Amman dengan populasi lebih 200,000 pelarian Palestin.

Misi HM4P selama dua minggu bermula 19 Jun lepas bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin termasuk 66 kanak-kanak.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling mengetuai lima anggota HM4P berada di Jordan sejak Sabtu lepas sebelum bertolak ke Kaherah, Mesir hari ini untuk bergabung dengan anggota misi HM4P di Mesir. Pasukan itu dijangka memasuki wilayah Gaza minggu ini tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Mesir.

Mesir dilaporkan akan memudahkan laluan ke Gaza kepada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia melalui sempadan Rafah hasil perbincangan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Mesir, Al-Sisi, selain usaha yang digerakkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan rakan sejawatnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.