UMNO Sumbang RM828,000 baik pulih Masjid Al-Aqsa

32

21 JUN: Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) melalui Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) hari ini menyerahkan sumbangan sebanyak RM828,000 kepada Tabung al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan bagi membaik pulih Masjid Al-Aqsa.

Ketua Misi HM4P, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata sumbangan itu akan digunakan bagi memperbaiki pintu, tingkap dan klinik dalam pekarangan Masjid Al-Aqsa yang rosak dalam serbuan dan keganasan dilakukan polis serta tentera rejim Zionis Israel.

Menurut beliau, sumbangan tersebut disampaikan secara terus kepada Masjid Al-Aqsa dengan disaksikan menteri bertanggungjawab di Jordan dan Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Umar Fahmi Al-Kiswani.

“Penyerahan dana ini adalah bertujuan menyampaikan solidariti kita kepada rakyat Palestin, itu keutamaan kita dan kita juga berhasrat untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin di Jordan. 

“Kami akan bergerak ke Kaherah pada Selasa ini untuk meneruskan misi bantuan ke wilayah Gaza yang diserang Israel pada bulan lalu,” katanya selepas majlis penyerahan dana sumbangan kepada Masjid al-Aqsa di Jordan, hari ini.

Dana itu diserahkan diserahkan kepada Menteri Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan, Dr Mohammad Al-Khalaileh dalam satu majlis ringkas di pejabat menteri itu di Amman, Jordan.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding; Pengarah Direktorat Al-Quds Awqaf, Dr Abdul Satar Al-Qudah; Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Umar Fahmi Al-Kiswani dan Timbalan Pengerusi BKUM, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Dalam pada itu, Sheikh Umar yang juga merupakan Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa merakamkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, terutama UMNO, di atas sumbangan kepada Masjid al-Aqsa.

“Dana AS$200,000 (RM828,000) itu akan digunakan untuk pembangunan atau pemulihan Masjid Al-Aqsa kesan serangan (rejim zionis Israel) baru-baru ini, di mana kerosakan berlaku kepada beberapa bahagian masjid,” katanya

Sementara itu, mengulas mengenai sumbangan itu, Jilid menyifatkan ia sebagai sumbangan pertama disalurkan secara terus kepada Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan yang bertanggungjawab mentadbir Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis di bawah penjagaan Raja Abdullah II dari Jordan.

Difahamkan, Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra turut menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Aqsa dan warga Palestin.

Setiap tahun Jordan memperuntukkan AS$18 juta untuk pengurusan dan penyelenggaraan Masjid al-Aqsa, termasuk membayar gaji pekerja-pekerjanya, termasuk lebih 300 petugas yang menjaga keselamatan masjid itu daripada diceroboh sewenang-wenangnya oleh Zionis.

Misi yang dilaksanakan BKUM bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.