UMNO desak Parlimen bersidang dalam tempoh 14 hari

72

21 JUN: UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kegagalan Kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang. 

AHMAD ZAHID

Beliau berkata seperti dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan segera bagi membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani pandemik COVID-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan. 

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya kerajaan segera mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al- Sultan Abdullah membuat keputusan berkenaan selepas Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, baru-baru ini.

Setelah memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar daripada agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya “exit strategy” bagi mengawal penularan wabak
COVID-19 di negara ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.