Tindakan diambil jika terbukti pemaju projek Prolintas cuai

32

21 JUN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedia mengambil tindakan terhadap pemaju bagi projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) jika didapati berlaku kecuaian dan tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan kerajaan sehingga menyebabkan insiden perancah besi jatuh di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata siasatan penuh sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian dan bukti berkaitan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, pihaknya tidak mahu membuat kesimpulan lebih awal terhadap kejadian yang berlaku membabitkan projek Prolintas itu sehingga siasatan lengkap selesai.

“Terlalu awal untuk saya membuat kesimpulan, saya sendiri tidak mempunyai maklumat penuh. Tunggu siasatan selesai

“Bagaimanapun, pemaju juga boleh dikenakan denda atau digantung lesen operasi jika terbukti melakukan kesalahan” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Seri Menanti, di sini pada Isnin.

Berikutan itu, PROLINTAS telah menghentikan serta-merta kerja di tapak pembinaan yang terlibat dengan insiden perancah besi jatuh di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada lewat petang Sabtu.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu, PROLINTAS mengesahkan kejadian tersebut melibatkan projek pembinaan lebuh raya berdekatan Kota Damansara yang diuruskan oleh syarikat pemaju Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd.

Susulan kejadian itu, dua pekerja pembinaan cedera sebelum salah seorang daripada pekerja itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan, Hospital Sungai Buloh jam 7 pagi Ahad.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.