Penubuhan MAGERAN akan timbulkan lebih banyak masalah baharu

19

21 JUN: Cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) bagi menggantikan proklamasi darurat dikuatkuasakan sekarang bukan hanya tidak perlu, malah akan menimbulkan lebih banyak masalah baharu berbanding menyelesaikan isu sedia ada.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan Pakar Perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz dalam satu kenyataan bersama menegaskan, sebenarnya penubuhan MAGERAN adalah tidak perlu dan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menguatkuasakan undang-undang berkenaan begitu sahaja kerana banyak proses perlu dilakukan.

Abdul Hamid dan Shamrahayu juga berpandangan MAGERAN dicadangan Mahathir berkenaan adalah berbeza dengan MAGERAN yang pernah dikuatkuasakan pada 1969.

“Persoalan yang timbul ialah, apakah punca kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Mageran? Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak menyebut mengenai penubuhan Mageran.

“Justeru, kami berpendapat, untuk menubuhkan Mageran, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlulah ditamatkan dan digantikan dengan peruntukan yang baharu kerana ordinan tidak menyatakan penubuhan Majlis seumpama itu. Atau, sebagai pilihan, ordinan ini perlulah dipinda.

“Sebagai contoh, Mageran 1969 ditubuhkan semasa kerajaan belum dilantik akibat tragedi 13 Mei tersebut berlaku sejurus selepas pilihan raya diadakan.

“Mageran pada 1969 berfungsi seumpama menggantikan Kerajaan. Proklamasi Darurat 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak menggantikan kerajaan yang sedia ada,” katanya Abdul Hamid dan Shamrahayu dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan mereka hari ini.

Abdul Hamid dan Shamrahayu juga berpandangan bahawa Proklamasi Darurat 1969 dan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Tugas-tugas khas yang diberikannya adalah luas, bukanlah sekadar mengurangkan serangan wabak Covid-19. Di mana letaknya sempadan bidang kuasa Kerajaan dan bidang kuasa Mageran?,” katanya

Kedua-dua pakar perundangan berkenaan juga membangkitkan isu bagaimana MAGERAN  akan meperoleh dana untuk melaksanakan tugas-tugasnya.

“Katakanlah, kerajaan menuruti nasihat Peguam Negara bahawa penubuhan Mageran itu tidak sah, dan oleh itu, adalah salah bagi kerajaan memberi dana untuk membiayai aktiviti Mageran, oleh itu, kerajaan enggan memberi dana kepada Mageran, bagaimana Mageran akan berfungsi?

“Dikatakan, Mageran tidak akan diletakkan di bawah kerajaan, sebaliknya melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong. Apa akan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas menerima laporan atau keputusan Mageran? Jika dana diperlukan, masalah yang disebut sebelum ini mungkin timbul,” katanya.

Mereka juga berpandangan bahawa kewujudan MAGERAN juga kemungkinan akan meletakkan semua kuasa eksekutif yang dijalankan oleh Perdana Menteri, Kabinet dan Menteri-Menteri, kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Memandangkan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, kerajaan, Kabinet dan menteri masih berfungsi, ia boleh menimbulkan persoalan bahawa akan wujud dua “kerajaan” pada masa yang sama.

“Tidakkah ia akan bercanggah dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang berjalan seiring dan pada masa sama meletakkan bidang tugas masing-masing antara keduanya?” ujar mereka.

Berikutan itu, Abdul Hamid dan Shamrahayu menegaskan MAGERAN seperti dicadangkan Mahathir tidak perlu diwujudkan semata-mata untuk mengadakan sidang Parlimen.

“Ini boleh dilakukan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Parlimen untuk bersidang (Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat) dan laporan mengenai Covid-19 yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.