Pengambilan guru baharu berita menggembirakan – UPSI

79

21 JUN: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan  (KPM) melakukan pengambilan khas membabitkan 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 dalam masa terdekat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata langkah ini pastinya memberi kelegaan kepada banyak pihak terutamanya graduan bidang pendidikan.

Md. Amin berkata, terdapat ribuan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari universiti awam yang sehingga kini masih menunggu penempatan.

“Terima kasih kepada pihak KPM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Malaysia kerana proaktif dan bingkas membantu graduan pendidikan yang masih menunggu penempatan termasuk graduan pendidikan dari UPSI.

MD AMIN

“Malahan pengumuman yang menggembirakan ini pastinya akan memotivasikan graduan untuk mencurah bakti mereka dalam memartabatkan mutu pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Md. Amin, setiap tahun UPSI telah melahirkan graduan berkualiti dalam bidang Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi untuk keperluan sekolah menengah.

Berikutan itu, beliau berharap supaya graduan ISPM dari universiti awam dan Institut Pendidikan Guru (IPG) diberikan keutamaan sepenuhnya dalam mengisi kekosongan jawatan ini.

“Hasrat ini disuarakan kerana golongan graduan ini adalah calon pendidik terlatih dan telah mengikuti pelbagai latihan profesionalisme guru.

“Pasti kehadiran graduan ISMP yang terlatih ini akan membantu pihak sekolah dan KPM dalam mencapai matlamat murni Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025),” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kepada semua graduan ISMP yang masih menunggu penempatan segera mendaftarkan diri untuk mengisi kekosongan penempatan seperti yang diumumkan oleh pihak kerajaan.

“Bagi menjayakan hasrat ini, Pusat Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (EDGE) UPSI segera menghantar senarai nama dan butiran graduan dalam bidang tersebut bagi menyokong inisiatif murni KPM ini.

“Bagi menggalakkan pengisian perjawatan guru secara sistematik dan menepati unjuran, beliau turut mencadangkan agar diwujudkan satu pangkalan data bersepadu di antara universiti awam yang menawarkan bidang pendidikan, IPG dan KPM.

“Pangkalan data ini pastinya dapat mewujudkan unjuran pengambilan, bidang pengajian, kekosongan perjawatan dan proses penempatan yang lebih sistematik.

“Pihak UPSI bersedia bekerjasama erat dengan KPM, IPG dan Majlis Dekan Pendidikan untuk merealisasikan idea pangkalan data yang bersepadu ini”, katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.