Malaysia hasilkan vaksin COVID-19

98

21 JUN: Malaysia sedang membangunkan vaksin COVID-19 dengan menggunakan vaksin mRNA (messenger asid ribonukleik) dan ujian klinikal ke atas manusia akan dijalankan dalam tempoh tiga bulan lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pembangunan vaksin itu bermula November 2020 oleh Institut Kajian Perubatan (IMR) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dr Adham berkata, status projek pembangunan vaksin sekarang ialah di peringkat pengklonan yang merangkumi virus asal dan SARS-CoV-2.

DR ADHAM

“Ujian praklinikal terhadap haiwan kecil dan besar dan ujian klinikal kepada manusia fasa satu hingga tiga perlu dilakukan sebelum proses pendaftaran dan penilaian dibuat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Pembangunan vaksin dengan menggunakan vaksin mRNA (messenger asid ribonukleik) itu dimulakan sejak November tahun lalu dengan dibiayai oleh KKM, Institut Kesihatan Negara (NIH) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Penjujukan genetik bagi virus telah dibangunkan dan dicipta bagi menghasilkan imuniti terhadap virus COVID-19,” katanya dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bersama Menteri MOSTi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi aplikasi Zoom di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata KKM mengesahkan terdapat 24 kluster jangkitan COVID-19 di Malaysia yang mempunyai kadar positiviti tinggi melebihi 80 peratus.

“Sebagai contoh Kluster Alam Jaya Dua yang dikesan di Selangor yang menunjukkan sejumlah 119 individu daripada 141 individu yang disaring, didapati positif COVID-19.

“Ia menunjukkan apabila kita melaksanakan ujian, terdapat kes dengan kadar positiviti tinggi di kawasan tertentu. Kita juga mendaftarkan kes daripada lokasi kluster yang mempunyai kadar positiviti tinggi. Ini yang kita gunakan untuk survelan genom dan mengesan varian baharu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.