Kes sporadik COVID-19 di Lembah Klang semakin meningkat

103

21 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan Lembah Klang terus mencatatkan peningkatan kes sporadik walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan sejak tiga minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM merekodkan sebanyak 151,725 kes sporadik atau 38.0 peratus daripada keseluruhan kes di Selangor, manakala Kuala Lumpur merekodkan 44,517 kes (11.2 peratus) dan disusuli Sarawak dengan 40,889 (10.3 peratus) kes sporadik.

Katanya, dari 1 Januari 2021 (Minggu Epidemiologi (ME) ke-53/2020) sehingga 19 Jun lalu(ME ke-24/2021), Malaysia merekodkan sebanyak 578,105 kes COVID-19 dan daripada jumlah itu sebanyak 398,846 kes (69.0 peratus) adalah kes sporadik.

“Kes-kes sporadik bermaksud kes-kes dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada, malah kes-kes sporadik ini dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti, ataupun daripada saringan kes bergejala.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik terbabit tidak bergejala, tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan betul,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Lembah Klang mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi di Malaysia pada ME ke-24, membabitkan tiga daerah paling benyak kes jangkitan dilaporkan, iaitu Daerah Petaling dengan 3,905 kes, Daerah Hulu Langat (2,783) dan Daerah Klang (2,482).

Jelasnya, berdasarkan kepada pemetaan dilakukan KKM, menunjukkan pertambahan kes sporadik dan taburannya semakin meluas serta ketara apabila dibandingkan dengan pemetaan sebelumnya.

“Biarpun PKP penuh diumumkan pada 12 Mei lalu, membabitkan ME ke-19 berjaya mengawal peningkatan kes-kes kluster pada ME ke-24, kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan ketara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.