Jawatankuasa Parlimen bukti kerajaan laksana titah Agong

16

21 JUN: Jawatankuasa dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang yang dibentuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan usaha beliau dalam memastikan persidangan institusi berkenaan diadakan secara lancar serta berkesan.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, berkata parti itu mendukung usaha terbabit kerana hal terbabit menunjukkan bahawa kerajaan komited melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Kerajaan juga mendukung prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi teras kedaulatan negara.

“PAS meyakini kerajaan sedang memperhalusi semua aspek dengan teliti supaya pelaksanaan sidang Parlimen berjalan dengan berkesan.

“Keupayaan dan kebersediaan daripada segenap aspek diusahakan sebaik mungkin agar selari dengan peruntukan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya menerusi muat naik di Facebook, hari ini.

Muhyidin semalam dilaporkan memaklumkan jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang sudah dibentuk untuk meneliti aspek penting, sebelum sidang Parlimen diadakan.

Katanya, pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan kedua-dua pihak di dalam jawatankuasa berkenaan.-  Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.