150 tapak pembinaan tidak patuh SOP diarah tutup

36

21 JUN: Sebanyak 34 peratus atau 150 daripada 446 tapak pembinaan didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) melalui pemeriksaan dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, sejak 1 Jun lalu sehingga semalam.

Menurut kenyataan Kementerian Kerja Raya, kegagalan itu menyebabkan 150 tapak pembinaan terbabit diarahkan tutup.

“CIDB menjalankan pemeriksaan terhadap 2,423 tapak pembinaan sejak PKP penuh berkuatkuasa dan daripada jumlah itu, sebanyak 446 tapak pembinaan didapati beroperasi serta 1,977 tapak tidak beroperasi.

“Manakala kesemua 150 tapak pembinaan yang tidak mematuhi SOP diarah tutup serta-merta.

“Namun, 11 daripada tapak pembinaan diarah tutup ini sudah dibenarkan dibuka semula selepas mereka mematuhi SOP ditetapkan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Katanya, jumlah tapak pembinaan diarahkan tutup paling tinggi adalah di Sarawak, iaitu sebanyak 45, diikuti Selangor (24), Melaka (16), Pulau Pinang (10), Terengganu (10), Sabah (9), Johor (7), Kuala Lumpur (6), Pahang (6) Perak (5), Kedah (4), Negeri Sembilan (4), Perlis (3) dan Kelantan (1).

Selain itu, empat daripada 11 tapak pembinaan yang dibenarkan beroperasi semula terletak di Terengganu, manakala di Melaka (3), Johor (2) dan masing-masing satu di Kuala Lumpur serta Kedah.

Jelasnya, kementerian itu memandang serius peratusan ketidakpatuhan SOP yang tinggi di tapak pembinaan kerana boleh menjejaskan objektif PKP ketika ini untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19.

“Penggiat industri pembinaan diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PKP atau berdepan dengan tindakan tegas CIDB.

“Bukan sahaja mengarahkan tapak pembinaan ditutup dengan serta-merta, malah CIDB boleh mengenakan penalti tidak melebihi RM500,000 atau menggantung dan membatalkan Perakuan Pendaftaran Kontraktor,” katanya.

Pada Ahad, katanya, sebanyak 11 daripada 19 kluster baharu yang direkodkan adalah kluster tempat kerja dengan tiga daripadanya membabitkan tapak pembinaan.

“Salah satu kluster yang dinamakan Tapak Bina Persiaran Hamidah dikesan di Hulu Langat, Selangor kerana merekodkan 244 kes positif setakat semalam,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.