Tiada negara di dunia boleh jamin pelan pemulihan berhasil

30

20 JUN: Tiada mana-mana negara di dunia termasuk Malaysia boleh menjamin pelan pemulihan dirancang kerajaan akan berjalan dengan sempurna atau berjaya 100 peratus

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pelan pemulihan dibuat di negara lain seperti United Kingdom dan Singapura juga berhadapan dengan kesukaran dan pelbagai masalah, malah terpaksa ditunda akibat penularan varian baharu COVID-19 yang lebih mengancam nyawa seperti varian Delta.

Tengku Zafrul berkata, walaupun negara terbabit mengecapi kejayaan awal, mereka kini terpaksa mengharungi cabaran lain melalui kenaikan kes harian baharu.

Justeru, tegasnya, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan adalah langkah dinamik yang dilaksanakan kerajaan untuk membendung impak ekonomi dan kesihatan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

“Ini bagi membolehkan kerajaan bertindak dengan tangkas serta pantas bagi membolehkan negara kekal relevan berdasarkan situasi semasa,” katanya pada sidang media khas bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, secara maya, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, negara lain turut menyemak semula pelan pemulihan mereka dan ada antaranya menangguhkan perancangan yang dilaksanakan.

“Pendekatan yang diambil setiap negara adalah dengan mengambil kira situasi terkini pandemik COVID-19. Tiada isu pelan pemulihan ini akan gagal atau sebaliknya, namun lebih kepada bagaimana cara kita menangani serta menyesuaikan diri setiap masa.

“Bagi Malaysia, jika indikator utama dalam PPN dapat dicapai lebih awal, ia akan membolehkan negara bergerak ke arah fasa yang seterusnya dengan pantas.

“Fokus utama adalah mencapai sasaran dengan lebih awal, justeru ia memerlukan komitmen bersama semua pihak. Ini membolehkan kita mencapai sasaran dengan tujuan yang sama,” katanya.

Tengku Zafrul menambah, PPN yang dilaksanakan kerajaan adalah penting bagi membolehkan rakyat dan perniagaan membuat perancangan yang sewajarnya, dengan memperincikan hala tuju serta membuka jalan keluar daripada krisis COVID-19.

Beliau berkata, dengan kata lain, ia memberi sinar di hujung terowong kepada rakyat, perniagaan dan kerajaan berlandaskan indikator yang jelas serta mudah difahami.

“Semua pihak dapat bersama mendokong usaha ke arah peralihan dari satu fasa ke fasa yang seterusnya, sehingga negara beralih keluar daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Tamat

Get real time updates directly on you device, subscribe now.