Sidang DUN Kedah diadakan selepas Parlimen bersidang

52

20 JUN: Kerajaan Negeri Kedah tidak bercadang untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara dalam talian atau hibrid dalam tempoh terdekat berikutan masih terikat dengan ordinan darurat.

Namun, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, sidang DUN di negeri itu akan dilakukan selepas Parlimen bersidang.

Menurut beliau, bentuk persidangan DUN kelak juga akan bergantung kepada perkembangan semasa selepas Parlimen bersidang.

“Walaupun kita belum tahu bila persidangan Parlimen akan berlangsung, kita hanya akan adakan sesi sidang DUN Kedah selepas Parlimen bersidang. Secara semuka atau maya, kita tunggu perkembangan semasa.

“Secara lazimnya, persidangan DUN Kedah diadakan pada Julai atau Ogos, namun kali ini kita berdepan kekangan akibat pandemik COVID-19,” katanya kepada media, hari ini. 

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan sebelum sidang DUN diadakan, pihaknya akan meneliti dan merujuk kepada format dan prosedur operasi standard (SOP) Parlimen terlebih dahulu untuk dijadikan panduan.

“Persidangan DUN Kedah berkemungkinan hanya membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kerajaan tanpa kehadiran pemerhati. 

“Namun, persidangan boleh disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi kerajaan negeri,” katanya.

Kali terakhir persidangan DUN Kedah diadakan adalah pada 15 hingga 19 November 2020, ketika Muhammad Sanusi membentangkan Belanjawan Kedah 2021.

Ia dilakukan dengan mematuhi SOP ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.