Kerajaan disaran beri vaksin kepada semua pelajar sekolah

32

20 JUN: Kerajaan disarankan memperhalusi langkah-langkah yang wajar dilaksanakan bagi membolehkan semua pelajar sekolah dapat menerima vaksin tanpa sebarang isu termasuk kebenaran daripada ibu bapa dan penjaga.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, pemberian vaksin kepada pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan merupakan satu perkembangan positif dan wajar diperluaskan kepada pelajar lain.

Menurut beliau, daripada sudut kesihatan awam beliau amat menyokong sekiranya kerajaan dapat mewajibkan pemberian vaksin kepada pelajar-pelajar tersebut. 

“Satu ketika dahulu hanya kanak-kanak yang sudah mendapat suntikan vaksin bagi penyakit cacar air dibenarkan mendaftar sekolah.

“Jadi, saya fikir polisi yang sama boleh dilakukan untuk vaksin COVID-19 ini kerana virus ini boleh mengakibatkan kematian. Kita sudah melihat impaknya jika ramai yang dijangkiti. 

Pertimbangan yang sewajarnya mampu melindungi anak-anak daripada jangkitan dan mengelakkan mereka menjadi punca keluarga dijangkiti, “katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Malina memaklumkan , pelaksanaan pemberian vaksin COVID-19 juga dilihat lebih mudah kerana boleh dilakukan secara mobil dan berpusat di sekolah sahaja.

“Pasukan bergerak boleh ke sekolah. Berikan sahaja suntikan vaksin kepada semua yang ada. Ia akan mempercepatkan lagi imuniti kelompok. Bagaimanapun ia juga bergantung kepada bekalan,” katanya.

Tegas beliau, tidak ada seorang pun yang sepatutnya terkecuali untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 kerana fokus ketika ini memberikan vaksin kepada seramai mungkin penerima.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, semua pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 akan menerima dos pertama suntikan vaksin  jenis Pfizer pada Julai ini. 

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Khamis memaklumkan cadangan pelajar yang menduduki peperiksaan awam diberi keutamaan untuk divaksinasi telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.