Jangan Polemikkan Titah Agong Berhubung Sidang Parlimen

26

20 JUN: Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan sidang Parlimen secepat mungkin seharusnya tidak dipolemikkan oleh sesetengah pihak khususnya ahli politik di negara ini. 

Penganalisis Keselamatan dan Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ini kerana jelas Seri Paduka Baginda mahukan kesuburan politik demokrasi matang terus menjadi tunjang pentadbiran negara.

“Ahli politik harus mengambil maklum apa yang tersirat dalam mesej Seri Paduka Baginda adalah kepentingan bersama memperdebat permasalahan rakyat dan mencari ‘exit strategy’ dan memperhebat aspek berkepentingan rakyat khususnya dalam keselamatan ekonomi serta kesihatan. 

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus memainkan peranan dalam mengelakkan berlakunya aspek berkepentingan peribadi dengan membuka perdebatan isu berkepentingan rakyat seperti morotarium dan proses vaksinasi dengan lebih optimum,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Justeru, beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, UiTM menegaskan Parlimen harus menjadi medan perdebatan wakil rakyat untuk rakyat dan bukanlah untuk kepentingan peribadi. 

Noor Nirwandy memberitahu, usahasama parti politik berteraskan kepentingan rakyat harus diutamakan supaya semua pihak berjaya membina asas secara bersama mengatasi pandemik serta kesannya.

“Malah, menteri UMNO yang dilantik juga telah membuktikan keupayaan mereka dalam menjalankan tugas semasa pandemik Covid-19, maka penarikan diri UMNO dari kerajaan akan merencatkan proses pemulihan negara.

“Gabungan menteri UMNO yang sedia ada dan kepimpinan PN juga sedang melaksanakan pelan pemulihan COVID-19 yang telah mula menunjukkan keberkesanannya. 

“Masyarakat juga harus faham tiada rujukan, asas serta pengalaman mana-mana negara memerangi wabak pandemik global seperti ini,” katanya.

Tambah beliau, inovasi dan memperkuatkan pentadbiran sedia ada dengan pengalaman menteri UMNO yang dilantik akan memastikan exit strategy yang dirancang berjalan dengan baik.

“Pilihan raya bukanlah medan terbaik penyelesaian masalah kerana kesan Pilihan Raya Negeri Sabah jelas berlaku dan ia adalah amat membahayakan keselamatan rakyat,” tegasnya.

Sementara itu, Noor Nirwandy berpandangan UMNO dilihat mampu merencatkan segala usaha pemulihan negara sekiranya membuat keputusan menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas 1 Ogos ini.

“Ini termasuk menjejaskan penumpuan strategi mencari jalan keluar serta solusi pelbagai isu termasuk COVID-19 sebagaimana yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong. 

“Rekonsilasi gabungan politik sangat diperlukan pada masa ini dan UMNO harus meletakkan imej parti rakyat dengan terus mendesak rekonsilasi berteraskan permuafakatan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.