Bomba Kesal Anggota Diserang Ketika Bertugas

55

20 JUN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak kecewa selepas anggotanya diserang ketika melakukan tugas memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Belipat, Lawas, petang semalam.

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman berkata, tindakan itu merupakan kejadian pertama serangan terhadap anggota bomba ketika sedang menjalankan tugas berlaku di Sarawak.

Bagaimanapun, menurut beliau, walaupun diserang ketika berkhidmat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan, anggota bomba tersebut bertindak profesional ketika menjalankan tugas memadam kebakaran itu.

“Beliau juga bertindak balas melalui saluran yang betul iaitu dengan membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 9.14 malam tadi.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi, atas budi bicara, anggota bomba terbabit menarik balik laporan polis yang dibuat. 

“Anggota tersebut melakukan tindakan itu selepas menerima permohonan maaf daripada pelaku yang menyesal dan menyedari kesalahan yang dilakukannya. 

“Lelaki itu yang menyerang anggota bomba terbabit mendakwa dia gagal mengawal emosi selepas melihat rumah pusaka mereka musnah terbakar,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, kejadian tersebut yang berjaya dirakamkan memaparkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas sedang memadam kebakaran sebuah rumah pada jam 3.18 petang.

Menerusi video berdurasi 56 saat yang tular sejak semalam, pada mulanya, seorang lelaki dilihat mengamuk dan menghempas barang sambil memarahi anggota bomba yang sedang menjalankan tugas.

Tidak lama selepas itu, seorang lagi lelaki tiba-tiba menyerang anggota bomba dari arah belakang menyebabkan anggota terbabit terjatuh.

Dalam pada itu, Khirudin memberitahu, isu itu juga membuktikan JBPM menunjukkan sikap profesional ketika menjalankan tugas dan sentiasa bertoleransi serta bertimbang rasa dalam menangani sebarang isu atau masalah yang dihadapi.

“Perlu diingatkan bahawa merujuk kepada Akta Perkhidmatan Bomba 1988, Seksyen 51, adalah satu kesalahan bagi mereka yang bersengaja mencaci, menyerang, mengacau, menghalang, menghalang atau mengganggu Pegawai Bomba, Pegawai Bomba Bantuan atau Pegawai Bomba Sukarela yang bertindak dalam melaksanakan tugasnya atau mana-mana orang lain yang membantu JBPM di bawah arahan tertentu pegawai bomba. 

“Jika disabitkan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Justeru, beliau berkata pihaknya berharap perkara seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang dan masyarakat harus menyokong usaha JBPM dalam program pencegahan kebakaran dan juga aktiviti bomba komuniti.

“Program yang dilaksanakan JBPM sangat bermanfaat terutamanya di dalam mencegah insiden kebakaran dan tindakan awal yang boleh diambil sekirannya berlaku kebakaran,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.