Beri Masa Kepada Kerajaan Tentukan Tarikh Sidang Parlimen

87

20 JUN: Semua pihak berkepentingan seharusnya memberi ruang dan masa sewajarnya kepada kerajaan berhubung isu persidangan Parlimen yang didesak untuk dilaksanakan secepat mungkin. 

Timbalan Pertubuhan Cendekiawan Negara, Prof Dr Kamarulnizam Abdullah, berkata, pihaknya yakin kerajaan juga mahu sidang Parlimen diadakan segera, namun kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan persidangan diadakan dengan selamat dan teratur khususnya dari segi kesihatan selain mengikut peraturan.

“Seperti kerajaan negeri diberi ruang untuk menetapkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi memenuhi undang-undang dan peraturan, berilah juga ruang sama kepada kerajaan pusat demi maslahat bersama. 

“Kita kesal dengan hujahan yang sengaja diada-adakan oleh sesetengah pihak sedangkan ia dibuat tanpa berdasarkan kepada fakta tetapi hanya bertujuan untuk mengaburi mata rakyat seolah-olah negara sedang terjerumus ke dalam krisis perlembagaan semata-mata untuk memenuhi kepentingan sempit mereka, “katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Mengulas lanjut, Kamarulnizam memaklumkan pihaknya kesal dengan hujah yang dilemparkan berikutan ada ahli akademik dan peguam berpendapat dengan termaktubnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari 2021, maka Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan mengenai kewajipan Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat tidak lagi terpakai dan baginda tidak lagi terikat dengan nasihat.

Beliau berkata, pihak terbabit turut mendakwa ia merangkumi kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen yang dikatakan termaktub di dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen perlu dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh baginda.

“Begitu juga dengan pendapat pelik mendakwa Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang dibuat di bawah Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan prosedur untuk memanggil sidang Parlimen, termasuk pemberian notis sekurang-kurangnya 28 hari, tidak lagi terpakai berikutan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Selain itu ada hujah berkaitan Seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan peruntukan Ordinan ini hendaklah mengatasi mana-mana peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak, selaras dengannya bagi menafikan kewajipan Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat dalam tempoh darurat, “katanya. 

Justeru, beliau menegaskan tidak sewajarnya ahli akademik dan peguam mengeluarkan pendapat begini sedangkan asas penentangan golongan yang tidak bersetuju dengan Proklamasi Darurat dulu pun. 

Kamarulnizam yang juga Profesor Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu ini kerana ia akan memberi kuasa sewenang kepada Perdana Menteri, bukan kepada Yang di-Pertuan Agong. 

“Sebab itulah apa yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai ‘dekri’ ini hanya dinyatakan Yang di-Pertuan Agong sendiri sebagai ‘pandangan’.

“Malah baginda sendiri pernah pada 24 Februari lalu menzahirkan pandangan penentuan tarikh sidang Parlimen ketika tempoh darurat berkuatkuasa terletak kepada nasihat Perdana Menteri,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.