Penerima Pingat Gagah Berani harap dapat vaksin

62

20 JUN: Penerima Pingat Gagah Berani (PGB) dan bekas anggota 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Apot A/K Saad, 72, dan isteri, Krig A/P Sudin, 71, berharap mereka akan menerima suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin biarpun belum mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera.

Apot terkenal dalam kalangan pasukan polis dan tentera kerana banyak berjasa kepada negara ketika zaman menentang komunis, berkata biarpun berada di kategori warga emas namun dia dan isterinya belum berdaftar kerana tidak tahu bagaimana mahu berbuat demikian.

Beliau yang pernah menembak mati beberapa pengganas komunis berkata sebelum ini dia dan isterinya diberitahu bahawa ada pihak tertentu akan membantu mereka mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin COVID-19, namun sehingga kini perkara itu belum menjadi realiti.

“Saya sanggup dan mahu menerima vaksin yang disediakan oleh kerajaan. Tapi setakat ini saya belum lagi mendaftar dengan MySejahtera, dan masih tunggu sebab ada orang bagi tahu nanti mahu daftarkan untuk saya.

“Selain saya dan isteri, ramai lagi rakan-rakan dari kalangan orang Asli yang belum mendaftar MySejahtera untuk mendapatkan vaksin,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Aman di sini.

Menjawab pertanyaan sama ada dia takut atau menolak penerimaan vaksin itu, Apot menegaskan: “Saya mahu terima vaksin, kalau dapat memang saya dan isteri sanggup menerimanya.

“Walaupun saya ada kencing manis dan darah tinggi dan kini kurang dapat berjalan ke sana-sini kerana sedikit uzur, namun saya tidak menolak untuk menerima vaksin berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, Apot meminta mana-mana pihak dapat membantunya untuk mendaftar serta mendapatkan vaksin dalam masa terdekat, tambahan pula telefon bimbitnya tidak mempunyai Whatsapp.

“Saya alu-alukan dan tunggu jika ada pihak yang dapat membantu saya mendaftar untuk mendapatkan vaksin,” katanya mengimbas sedikit sebanyak ketika zamannya menentang komunis.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.