22 Kes Varian Baharu VOC Dikesan Minggu Ini

33

20 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan telah mengesan kewujudan 22 lagi kes Variant of Concern (VOC) melalui survelan genomik yang dijalankan bermula 11 Jun lalu sehingga semalam. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 14 kes varian Beta (B.1.351) manakala lapan lagi di lesen sebagai kes varian Delta (B.1.617.2).

“Sebanyak 14 kes baharu varian Beta (B.1.351) yang telah dilaporkan adalah masing-masing tiga kes di Selangor, Sabah, dan Terengganu, dua kes di Kedah, dan masing-masing satu kes di Perak, Johor, dan Kelantan.

“Manakala lapan kes baharu bagi varian Delta (B.1.617.2) adalah masing-masing dua kes di Johor, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Negeri Sembilan, serta masing-masing satu kes di Perlis dan Pulau Pinang,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini. 

Beliau menambah, sehingga semalam, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh COVID-19 yang dikategorikan sebagai VOC sebanyak 167 kes manakala bagi Variant of Interest (VOI), merekodkan jumlah sebanyak 16 kes. 

“Bagi kes kategori VOC, 137 kes adalah varian Beta (B.1.351) dan kesemua kes jangkitan tempatan) manakala 21 kes varian Delta (B.1.617.2) di mana 12 kes jangkitan tempatan dan sembilan kes import 

“Selebihnya iaitu sembilan kes adalah varian Alpha (B.1.1.7) di mana empat merupakan kes jangkitan tempatan dan lima kes import. 

“Bagi kes VOI, 12 kes adalah varian Theta (P.3) yang mana kesemuanya merupakan warga tempatan. Tiga kes adalah varian Eta (B.1.525) dan kesemuanya kes import) dan selebihnya, satu kes varian Kappa (B.1.617.1) dan juga semua merupakan kes import,” katanya. 

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata,  kematian kes COVID-19 hari ini mencatatkan penurunan semula apabila berjaya merekodkan 60 kes berbanding semalam 72 kes.

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan 56 rakyat tempatan dan empat warga asing menjadikan jumlah keseluruhan kumulatif kes kematian sebanyak 4,408 kes atau 0.63 peratus daripada keseluruhan kes. 

“Daripada 60 kes kematian hari ini, 20 daripada direkodkan di Selangor, 12 kes di Johor, 11 kes di Negeri Sembilan, dan masing-masing empat kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

“Selain itu, masing-masing dua kes di Sabah, Perak, dan Sarawak, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Kedah, dan Pahang,” katanya. 

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan kes baharu hari ini mencatatkan peningkatan kepada 5,738 dan daripada jumlah itu, 5,735 kes daripada adalah kes tempatan manakala tiga merupakan kes import. 

“Jumlah kes sembuh harian pula mencatatkan penurunan apabila hari ini merekodkan 5,941 kes berbanding semalam 6,918, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 628,185 atau 90.2 peratus daripada keseluruhan kes. 

“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 886 orang termasuk dan 441 yang memerlukan bantuan pernafasan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 64,523 atau bersamaan 9.34 peratus,” katanya.

Sementara itu Noor Hisham berkata, kluster baharu hari ini juga turut mencatatkan penurunan iaitu 19 kluster, di mana 11 daripadanya adalah kluster berkaitan kluster tempat kerja, lima kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu merupakan kluster pusat tahanan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.