Ramai salah faham pengendalian PKP penuh

24

19 JUN: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata ramai pihak salah faham dengan menganggap Ordinan Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan kerajaan ketika ini, mampu menurunkan kes positif COVID-19 dengan segera.

Katanya, pada masa sekarang, semua pihak perlu bersabar untuk mendapatkan hasil daripada setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan.

Beliau menegaskan, apa yang dilakukan pada hari ini akan dilihat kesannya dalam tempoh 14 hari kemudian, terutama mengenai penurunan jumlah kes positif.

ANNUAR

“Ada kata bila ‘lockdown’, mesti terus selesai, isytihar darurat mesti terus selesai, tetapi pengurusan COVID-19 tidak begitu, ramai di luar sana yang masih tidak faham.

“Malah di Amerika Syarikat, vaksinasi banyak, kes harian masih lagi 13,000 ke 14,000. Di United Kingdom, walaupun sudah bebas bergerak, vaksin baharu 47 ke 48 peratus, kes harian masih 7,000.

“Banyak tidak faham antara vaksin dan kes positif, kes positif akan terus berlaku sebab virus tidak mati,” katanya dalam sidang media ketika menghadiri Program Pemberian Vaksin Industri di KL Sentral, hari ini.

Annuar berkata, inisiatif dilaksanakan kerajaan boleh dianggap berjaya kerana mampu menurunkan kes berbanding sebelum ini yang merekodkan hampir 10,000 kes.

“Macam sekarang, ‘lockdown’ tiga minggu. Baru di peringkat awal, ia berjaya sebab masa mula-mula kita membuat keputusan ‘lockdown’, kes 8,000 ke 9,000 kes.

“Kalau tiada lockdown hari ini, angka dijangka 15,000 ke 16,000 pada masa ini. Perkara ini perlu diterangkan kerana orang luar jadikan isu,” katanya.

“Tidak wajar menjangkakan kes dapat turun kepada dua angka dalam masa tiga minggu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.