Malaysia sokong resolusi tamat krisis Myanmar

12

19 JUN: Malaysia mengalu-alukan resolusi bagi menangani krisis keganasan di Myanmar yang diluluskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), semalam.

Kementerian Luar berkata, Malaysia menyokong resolusi itu yang menyeru pihak terbabit dan komuniti antarabangsa mencari jalan konstruktif mewujudkan proses damai dalam menangani krisis di negara berkenaan.

Resolusi itu, katanya, turut menyeru supaya keganasan dapat dihentikan dengan serta-merta, termasuk usaha pembebasan segera pemimpin politik ditahan.

“Ini bagi mencari jalan penyelesaian ke atas krisis berkenaan dan membuka ruang dialog bersifat kondusif serta inklusif.

“Lebih penting, resolusi itu menuntut pelaksanaan ‘Five-Point Consensus’ yang dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin (ASEAN) pada 24 April lalu.

“Selain itu, resolusi itu mengandungi keperluan mendesak kerjasama antara semua pihak berkepentingan di Myanmar dengan Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar dan negara anggota ASEAN,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kementerian Luar berkata, sokongan Malaysia itu berdasarkan matlamat bagi memastikan tindakan mengganggu gugat kestabilan Myanmar dapat dihentikan serta-merta untuk membawa kesan positif di negara berkenaan.

“Malaysia bersedia bekerjasama secara konstruktif dengan komuniti antarabangsa dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi mapan di Myanmar,” katanya.

Mengulas mengenai sokongan resolusi diluluskan UNGA itu, Kementerian Luar berkata, perkara itu mendapat undian sebanyak 119, manakala satu tidak bersetuju dan 36 berkecuali.

Semalam, media melaporkan UNGA mengambil langkah jarang dilakukan dengan meminta negara anggota mengenakan embargo senjata terhadap Myanmar.

Krisis di Myanmar tercetus sejak tentera menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, menyaksikan negara berkenaan bergolak dengan tunjuk perasaan hampir setiap hari dan gerakan ketidakpatuhan awam (CDM) di seluruh negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.