KDN kenal pasti individu didaftar anggota RELA

49

19 JUN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengenal pasti individu yang dilaporkan didaftar secara automatik sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihaknya dalam proses mendapatkan maklumat lanjut daripada individu terbabit untuk tindakan susulan.

“Kita kenal pasti jumlah keseluruhan individu terbabit dan kini dalam proses menghubungi seorang demi seorang untuk mendapatkan maklumat lanjut.

HAMZAH

“Sebelum ini, sistem pendaftaran anggota RELA dilakukan secara manual. Sebab itu, kita minta RELA menghubungi individu berkenaan untuk tahu siapa orangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Mastor Mohd Ariff.

Hamzah berkata, beberapa individu terbabit turut mendakwa dihubungi pihak tertentu yang meminta tandatangan mereka sebelum ini.

“Ada dua, tiga individu yang kita hubungi memaklumkan ada orang minta mereka turunkan tandatangan. Namun, mereka sendiri tidak tahu sama ada tandatangan itu untuk kemasukan sebagai anggota RELA atau sebaliknya.

“Mereka yang mahu menyertai RELA perlu memastikan penyertaan dilakukan mengikut saluran betul,” katanya.

Selasa lalu, KDN dilaporkan menunggu laporan penuh siasatan RELA mengenai isu tular di media sosial mendakwa berlakunya pendaftaran automatik dalam sistem MyRELA tanpa pengetahuan orang ramai.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.