Jangan tertipu janji palsu PH – Abdul Hadi

210

19 JUN: Rakyat Malaysia diingatkan supaya jangan tetipu sekali lagi dengan janji palsu ditaburkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pada PRU-14, rakyat telah memberikan kemenangan kepada PH kerana ramai tertarik dengan janji yang diucapkan dan ditulis, termasuklah janji yang mustahil dilaksanakan dalam masa yang singkat.

Bahkan, Ahli Parlimen Marang itu berkata ada juga janji yang dikatakan boleh ditunaikan dalam tempoh yang pendek dalam sehari semalam. Adapun yang tersurat dalam manifesto, masih boleh dibaca semula.

“Apabila tindakan mereka ketika menjadi kerajaan dipersoalkan, semuanya dituding kepada kerajaan yang terdahulu. Apa yang dibisingkan oleh mereka ialah perebutan jawatan perdana penteri yang menunjukkan perangai bernafsu yang rakus, sifat yang diharamkan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya,

“Daripada ‘Abd al-Rahman bin Samurah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada ku: “Wahai ‘Abd al-Rahman bin Samurah! Janganlah sekali-kali kamu meminta jawatan menjadi pemimpin (ketua). Jika kamu diberikan jawatan itu dengan meminta, nescaya Allah membebankan kepadamu dan jika diberikan jawatan bukan disebabkan meminta, nescaya Allah akan menolongmu.” (Riwayat al-Bukhari 7146 dan Muslim 1652),” katanya dalam satu kenyataan menerusi kolum Minda Presiden PAS disiarkan laman Facebooknya di sini sebentar tadi.

ABDUL HADI

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata lebih membahayakan umat dan negara, apabila terdapat dalam kalangan mereka yang sedia bersekongkol dengan sesiapa sahaja, termasuklah musuh agama, umat dan negara sehingga sanggup bersama dengan golongan yang nyata bersikap ekstrem terhadap Islam, umat dan raja.

Abdul Hadi berkata PAS menerima kewujudan masyarakat majmuk yang menyedari kedudukan mereka sebenar, bahkan boleh bekerjasama dengan baik berkonsepkan adil terhadap semua dan diberikan hak beragama tanpa sebarang paksaan.

“Apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah konsep yang boleh menghadapi perubahan secara positif, bahkan sudah berlaku beberapa peruabahan pada hari ini.

“Hanya beberapa hari kerajaan PH berkuasa, sudah terserlah sikap mereka yang melampau terhadap Islam dan kepimpinannya, sedangkan ia suatu perkara yang wajib dipertahankan dengan perintah Allah SWT,” katanya.

Berikutan itu Abdul Hadi mengingatkan generasi muda yang tidak menyaksikan peristiwa lalu, janganlah mudah terpengaruh dengan media tanpa sempadan yang akan membawa penyesalan di dunia dan akhirat yang sudah tidak berguna lagi penyesalannya.

“Cukuplah perkara besar ini menjadi pengajaran. Jangan ditipu untuk kali kedua laksana disengat daripada lubang yang sama, dan haram bersama dengan musuh agama dan umat, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.