Hampir 4,000 kes keganasan rumah tangga dilaporkan

795

19 JUN: Penangan pandemik COVID-19 turut memberi kesan kepada institusi kekeluargaan apabila Talian Kasih mencatatkan panggilan sebanyak 3,978 kes membabitkan keganasan rumah tangga.

Talian Kasih adalah kendalian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Panggilan yang dibuat sejak tahun 2020 sehingga 13 Jun lalu itu juga menyumbang kepada hampir suku juta atau 233,825 panggilan membabitkan aduan dan pertanyaan diterima.

Menurut Laporan Keseluruhan Pusat Panggilan Talian Kasih seperti dimaklumkan kepada Portal PN BBC, panggilan tertinggi yang direkodkan adalah bagi April 2020, iaitu sebanyak 55,129 panggilan.

Laporan berkenaan menyatakan, jumlah kes keganasan rumah tangga yang diterima menerusi panggilan telefon dan whatsapp itu, membabitkan aduan serta pertanyaan berhubung isu dihadapi.

“Daripada 3,974 kes diterima ini, sebanyak 2,540 kes membabitkan aduan, manakala 1,438 kes adalah pertanyaan.

“Negeri paling tinggi merekodkan aduan keganasan rumah tangga bagi Januari sehingga Disember tahun lalu adalah Selangor, iaitu 275 kes, Kuala Lumpur (95), Johor (81), Kedah (52), Perak (51), Pulau Pinang (42), Negeri Sembilan (31), Sabah (22), Kelantan (21), Pahang (20), Terengganu (15), Melaka (14), Sarawak (12), Putrajaya (6), Perlis (3), manakala tiada kes aduan di Labuan.

“Bagi aduan untuk tempoh setakat 13 Jun tahun ini, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi (177), disusuli Kuala Lumpur (51), Johor (44), Perak (38), Negeri Sembilan (36), Kedah (30), Pulau Pinang (21), Sabah (19), Pahang (15), Terengganu dan Sarawak masing-masing 11 kes, Kelantan dan Melaka masing-masing 10 kes, Perlis dan Labuan masing-masing satu kes serta Putrajaya tiada aduan terima,” menurut laporan itu.

Talian Kasih diwujudkan KPWKM sejak beberapa tahun lalu sebagai platform bagi membolehkan penduduk di negara ini melaporkan aduan dan mengemukakan pertanyaan berhubung pelbagai isu kekeluargaan, kemasyarakatan serta emosi.

Isu terbabit adalah talian kanak-kanak, pembuangan bayi, perkhidmatan kesihatan reproduktif, masalah sosial remaja, kaunseling, penderaan, perlindungan serta kebajikan.

Dua kaedah disediakan bagi perkhidmatan berkenaan, iaitu menerusi panggilan telefon ke 15999 atau whatsapp di nombor 019-26115999.

Inisiatif KPWKM itu menerima sambutan daripada golongan sasaran, selain membantu menyelesaikan serta memberi kehidupan baharu kepada mereka.
Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.