Sidang Parlimen Hibrid Lebih Baik

51

18 JUN: Persidangan Parlimen lebih baik dilaksanakan secara hibrid sehingga sekurang-kurangnya negara mencapai imuniti kelompok.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, sidang secara bersemuka belum wajar dilaksanakan kerana bukan semua pegawai dan kakitangan Parlimen sudah menerima vaksin COVID-19.

Namun, beliau menegaskan kerajaan boleh mempercepatkan vaksinasi kepada pegawai dan kakitangan Parlimen jika mahu diadakan secara bersemuka, namun sidang tidak dapat berjalan dengan segera kerana perlu menunggu mereka mendapat dua dos vaksin.

“Jika mahu sidang Parlimen dilaksanakan secepat mungkin, kaedah hibrid lebih baik, dengan menetapkan kapasiti Dewan Rakyat dan Dewan Negara sekitar 50 peratus, dan selebihnya secara maya.

DR SHARIFA IZAT

“Setakat yang kita tahu, hanya Ahli Parlimen sudah divaksin. Mereka masih boleh menjadi pembawa virus dan menjangkitkannya kepada pegawai dan kakitangan di Parlimen.

“Ini selaras juga dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara maju lain, saya berpandangan sidang Parlimen hibrid perlu kekal sehinggalah 80 peratus populasi negara sudah divaksin, sekali gus membentuk imuniti kelompok,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Tambah beliau, Parlimen hanya boleh kembali bersidang secara bersemuka apabila kadar kebolehjangkitan atau R-naught di bawah 0.5, serta kadar positif di bawah lima peratus. 

“Ini perlu kita ambil serius perkara ini bagi kita meminimakan risiko tercetus kluster jangkitan di Parlimen,” katanya. 

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, menzahirkan pandangan agar persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 4 Jun lalu mengesahkan kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sementara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun memaklumkan Parlimen boleh dilaksanakan secara bersemuka ketika ini, namun harus mematuhi garis panduan yang ketat.

DR HANAFIAH

Beliau berkata walaupun sudah divaksin, Ahli Parlimen masih wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal 1.5 meter dan diletakkan objek pemisah di antara mereka.

“Selain itu, tempoh waktu Ahli Parlimen dalam Dewan perlu dikurangkan dan mereka tak boleh kekal di dalam Dewan selama empat atau lima jam secara terus.

“Contohnya, tempoh perbahasan dihadkan sekitar 60 minit, kemudian semua perlu keluar untuk membolehkan proses nyahjangkitan dilakukan, sebelum sidang bersambung.

“Ini bagi mengelakkan jangkitan secara bawaan udara, khususnya kepada pegawai Parlimen yang belum divaksin memandangkan sidang berlangsung dalam ruang tertutup,” katanya.

Sementara itu, Hanafiah turut mencadangkan agar pusat pemberian vaksin (PPV) juga dibuka di Parlimen supaya pegawai dan kakitangan yang hadir ke Parlimen boleh divaksin, serentak dengan perjalanan persidangan.

“Apabila tamat sidang Parlimen, semua kena terus pulang. Tak boleh ada sidang media atau bersembang, kerana itu kesilapan dilakukan di beberapa masjid dan surau sebelum ini hingga mencetus kluster jangkitan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.