Sidang DUN: Negeri Sembilan mohon perkenan Agong

13

18 JUN: Kerajaan Negeri Sembilan merancang untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang dan akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perbincangan telah diadakan bersama Speaker DUN Datuk Zulkefly Mohamad Omar bagi merancang pelaksanaan persidangan DUN negeri ini, semalam.

“Seterusnya saya akan mempersembahkan hasil perbincangan tersebut kepada Tuanku Muhriz bagi mendapatkan perkenan baginda agar persidangan DUN dapat diadakan.

“Persidangan DUN hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kali terakhir DUN negeri ini bersidang pada 3 Disember lalu  2020 selama lima hari.

Aminuddin berkata sebarang tarikh persidangan yang akan diangkat untuk perkenan Tuanku Muhriz turut mengambil kira tempoh notis sekurang-kurangnya 28 hari kepada ahli DUN selaras dengan Peraturan IV, Perintah 5, Peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Tahun 1960.

Jelasnya, sekiranya mustahak dan perlu, notis yang seberapa segera boleh dikeluarkan tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz.

Aminuddin turut menjunjung kasih pandangan yang dizahirkan oleh Seri Paduka agar persidangan Parlimen diadakan pada kadar segera bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara baru-baru ini dihadiri oleh Sultan Terengganu, Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak, Sultan Kedah, Pemangku Raja Pahang dan Raja Muda Perlis yang mewakili Raja Perlis.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.