Semua Berdaftar MySejahtera Akan Dapat Vaksin

71

18 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa semua individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera akan diberi tarikh janji temu untuk vaksinasi.

Justeru, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menyeru orang ramai agar tidak bimbang serta gusar kerana kerajaan telah membeli vaksin yang mencukupi untuk semua. 

Beliau juga menegaskan jumlah pasti mencukupi disebabkan bekalan vaksin yang dijadualkan tiba di negara ini pada Julai ini adalah dalam kuantiti besar.

“Asalkan nama mereka ada di MySejahtera, mereka tidak perlu risau…semua akan dapat vaksin. 

NOOR AZMI

“Orang ramai tidak perlu bimbang jika belum menerima tarikh janji temu walaupun telah sekian lama berdaftar dalam aplikasi MySejahtera,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Hospital Pantai George Town, Pulau Pinang, hari ini. 

Dalam pada itu, Noor Azmi turut menyeru semua hospital swasta, klinik perubatan am swasta (GP) dan klinik pakar swasta untuk mendaftar sebagai PPV.

“Sasaran negara adalah 75 hospital swasta beroperasi sebagai PPV dalam bulan ini namun hanya 67 hospital yang telah beroperasi setakat ini dengan tujuh daripadanya di Pulau Pinang.

“Setakat ini, 67 hospital swasta dan 441 GP telah mula beroperasi sebagai PPV dan kami memang menyeru lebih banyak hospital dan GP swasta untuk tampil membantu kerajaan dalam usaha pemberian vaksin,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.