Polis siasat wanita herdik anggota polis

189

18 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan melibatkan kejadian seorang wanita yang mengherdik anggotanya di satu sekatan jalan raya (SJR), di Kota Kinabalu, pada 1 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata pihaknya akan memanggil wanita itu untuk merakamkan keterangan bagi membantu siasatan mengenai kejadian tersebut. 

Menurut beliau, timbalan pendakwa raya juga telah menasihatkan polis membuka siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

HAZANI

“Kami akan menyiasat kes ini dari kedua-dua sudut, bukan setakat sebelah pihak. Saya tidak akan membuat sebarang andaian. 

“Jika anggota saya mengeluarkan kata-kata tidak elok, saya akan mengambil tindakan terhadap mereka. 

“Jika wanita itu mencetuskan pertengkaran maka kami akan mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya kepada media, hari ini.

Semalam, tular di media sosial video seorang wanita dipercayai di Sabah bertindak mengeluarkan kata-kata kasar dan membuat provokasi terhadap anggota polis trafik bertugas.

Video berdurasi kurang dua minit itu memaparkan tiga anggota polis bertindak profesional meskipun wanita dikenali sebagai Wawa Wahid Enterprise bertali arus memarahi dalam nada yang kuat ketika berurusan.

Menerjah laman sosial Facebook, wanita berkenaan mengakui kejadian berlaku pada 1 Jun lalu apabila disaman akibat cukai jalan kenderaannya dikatakan tamat tempoh.

Bagaimanapun, wanita tersebut memohon maaf sekiranya tindakannya mengguris hati anggota bertugas.

Sementara itu, ditanya tindakan pihak polis mendendanya kerana cukai jalan tamat tempoh sedangkan orang ramai tidak dapat memperbaharui dokumen itu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), Hazani menegaskan cukai jalan wanita itu luput sejak Januari lalu.

“Sudah berapa PKP telah kita lalui? Sudah dua kali ditamatkan, jadi logik atau tidak (tidak dapat memperbaharui cukai jalan)?

“Sekalipun cukai jalan telah tamat tempoh, insurans keretanya patut diperbaharui,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.