Penganut Hindu, Sikh kerjasama bina masjid di Punjab

32

18 JUN: Walaupun berbeza agama, penduduk di Kampung Bhaloor, Moga, Punjab, India yang terdiri daripada Hindu, Sikh dan Islam berkerjasama untuk membina sebuah masjid di kawasan itu.

Akhbar Arab News, semalam melaporkan pembinaan bangunan yang dinamakan sebagai Masjid Mohammadi itu adalah bagi kegunaan 20 penduduk Islam di kampung terbabit untuk memudahkan mereka beribadah.

Kampung Bhaloor yang mempunyai 12,000 penduduk, memiliki tujuh kuih Sikh dan dua kuil Hindu, tetapi tiada masjid bagi kegunaan penganut Islam.

Menurut Ketua Kampung Bhaloor, Pala Singh, sebuah masjid pernah wujud di kampung itu pada tahun 1947 ketika penjajah Inggeris membahagikan tanah jajahannya kepada Pakistan dan India.

Namun, keadaan masjid itu bertambah usang selepas ramai penduduk Islam meninggalkan kampung terbabit.

Katanya, selepas itu, kebanyakan keluarga Muslim berangkat ke Pakistan dan masjid terbabit diruntuhkan.

“Masjid baharu sedang dibangunkan di tanah sama dan kami semua bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini,” kata Singh.

Minggu lalu, seorang ulama tempatan meletakkan batu asas di tapak pembinaan Masjid Mohammadi dan wakil semua agama di kampung terbabitmenghadiri acara itu.

Ketua Jawatankuasa Pengelola Masjid Mohammadi, Anwar Khan, 32, berkata, terdapat pihak yang menyumbangkan AS$2,800 (RM11,564) untuk pembinaan masjid itu dan beberapa bantuan lain.

Majis baharu itu, katanya, dijangka siap pada tahun depan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan AS$17,000 (RM70,218).

“Penduduk kampung kami mempunyai hubungan yang rapat dengan masing-masing menghormati semua agama dan masjid baharu ini tidak akan dapat dilakukan tanpa sokongan moral serta kewangan daripada mereka.

“Ini adalah contoh keharmonian komuniti yang wujud di saat kita sering mendengar semua jenis berita menakutkan tentang keganasan agama,” katanya.

Keadaan itu sekali gus menunjukkan, meskipun ketegangan agama semakin memuncak di negara berkenaan, penduduk di kampung terbabit masih mengekalkan keharmonian dan toleransi, malah suasana kehidupan di situ masih aman

Get real time updates directly on you device, subscribe now.