Derhaka Agong: Polis akan panggil Takiyuddin

128

18 JUN: Kementerian Dalam Negeri menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk dirakam keterangan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan ini diambil susulan menerima laporan polis terhadap kenyataan Takiyuddin yang didakwa derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut beliau, polis akan melakukan siasatan tanpa mengira siapa sahaja atau darjat untuk mengetahui lebih mendalam isu yang dibangkitkan.

“Sesiapa sahaja yang melakukan hasutan hingga boleh menimbulkan sesuatu kurang senang dalam kalangan rakyat boleh disiasat. 

“Sekiranya ada aduan maka polis akan siasat tanpa mengira darjat. Jika ada laporan kita akan lakukan siasatan. 

“Siasatan akan dilakukan secara mendalam bagi mengetahui perkara sebenar,” katanya menerusi sidang media di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Pemuda Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap kenyataan Takiyuddin yang didakwa mempersenda Yang di-Pertuan Agong.

Al-Sultan Abdullah, sebelum ini menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani COVID-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Takiyuddin ketika Bicara Harakah bertajuk ‘Proklamasi Darurat: Berjaya Atau Sebaliknya’ yang disiarkan secara maya malam kelmarin berkata, pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin tidak memperincikan bila ia perlu diadakan.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan, pihak berkuasa akan memastikan dahulu kandungan ucapan Takiyuddin sebelum tindakan boleh diambil terhadap beliau.

“Biarlah polis siasat, supaya kita boleh dapat apa yang dia cakap. Saya akan pastikan dahulu (kandungan ucapan) dan kita akan pergi kepada yang lebih lanjut sebab kita tak boleh terus ambil seksyen mana selagi kita tak tahu.

“Kalau kita nak tuduh kita kena tahu kesalahan apa yang dilakukan baru ada seksyen (pertuduhan),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.