Annuar yakin kerajaan beri perhatian terhadap titah Agong

22

18 JUN: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yakin kerajaan akan memberi perhatian kepada pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.

Beliau berkata, menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini kerajaan sememangnya sudah menyatakan Parlimen akan bersidang seawal September atau Oktober.

“Sudah pasti urusan persidangan Parlimen perlu dilakukan dengan mematuhi peruntukan undang-undang, Perlembagaan serta peraturan-peraturan persidangan sedia ada,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Annuar menjelaskan, beliau amat bersetuju dengan pandangan bahawa program vaksinasi amatlah penting disegerakan dan menjelaskan disebabkan kepentingan itu pelan vaksinasi disemak semula.

Beliau amat menghargai pandangan Al-Sultan Abdullah mengenai perlunya sebuah kerajaan stabil dan kukuh.

“Politiking (berpolitik) perlu dihentikan dan semua pihak harus fokus kepada muafakat serta usaha memenangi perang mengawal penularan COVID-19,” katanya.

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.