10,000 komputer riba untuk calon peperiksaan

17

18 JUN: Kerajaan Sabah menyediakan beberapa bantuan kepada calon tiga peperiksaan utama bagi tahun 2021, termasuk 10,000 komputer riba bagi membantu melancarkan pengajaran dan pembelajaran (PdPR) mereka.

Ia membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kerajaan juga akan menyalurkan dana menerusi Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) sebanyak RM200 seorang.

“Kerajaan Sabah akan membekalkan 10,000 komputer riba kepada pelajar SPM, STPM dan STAM yang layak di bawah program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Majlis Taklimat Biasiswa Tajaan PETRONAS yang diadakan secara maya, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar.

Program dianjurkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah itu turut menyaksikan Hajiji berkesempatan beramah mesra dengan 241 orang anak Sabah yang memperoleh keputusan Gred A pada SPM 2020 bagi semua mata pelajaran diduduki.

Selain itu, Hajiji berkata, program berkenaan dapat menyediakan platform kepada calon cemerlang terbabit untuk berinteraksi bersama agensi yang menyediakan bantuan pinjaman dan biasiswa, seperti PETRONAS, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah serta Yayasan Sabah.

Katanya, inisiatif terbabit amat baik dalam membantu pelajar mendapatkan maklumat lengkap berkenaan bantuan pinjaman dan biasiswa untuk mereka melanjutkan pelajaran.

“Tidak lupa ucapan jutaan terima saya dedikasikan kepada para guru dan ibu bapa yang terus cekal membantu pelajar serta anak masing-masing mencapai kecemerlangan, biarpun terpaksa berdepan norma baharu dalam suasana PdPR, malah mereka lebih kreatif mempelbagaikan kaedah pendidikan ini bagi memastikan tidak ada seorang pelajar tercicir daripada menerima ilmu,” katanya.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan amat prihatin terhadap keperluan pelajar di Sabah yang dapat dilihat menerusi pelbagai usaha disediakan.

“Antaranya penubuhan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Sabah untuk membolehkan lebih ramai pelajar berpeluang meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam atau luar negara.

“Pada masa sama, kerajaan menyediakan bantuan secara ‘one off’ kepada pelajar berkelayakan yang bakal melanjutkan pengajian kali pertama di peringkat Ijazah Sarjana Muda menerusi Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM2,000 seorang,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.