Sidang Parlimen: Ini pandangan Rais Yatim

1,046

17 JUN: Pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya Parlimen bersidang secepat mungkin, menepati Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata semua pihak perlu menghormati pandangan berkenaan dan berusaha supaya Parlimen dibuka semula segera.

Katanya, pandangan itu juga harus diberi penghormatan dan dilaksanakan kerana dikemukakan Agong yang berperanan sebagai Ketua 1 Parlimen.

“Isunya sekarang adalah bila dan (maksud) perkataan sesegera, mungkin itu nampaknya tidak boleh lebih dari 1 Ogos (tarikh darurat tamat), lagipun tarikh asal pengistiharan darurat dibuat pada 12 Januari lalu.

“Jadi tarikh 1 Ogos itu, lebih kurang sempurnalah tempoh enam bulan supaya Parlimen boleh bersidang semula.

“Cuma sebelum tempoh itu, perlu dikemukakan notis supaya mesyuarat bersidang,” katanya ketika dihubungi PN BBC, hari ini.

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang, selain mempunyai kuasa mutlak menghentikan atau membubarkan Parlimen.

Baginda turut diperuntukkan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan lepas dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang.

Selain itu, Rais berkata, beliau berpandangan supaya Parlimen sewajarnya bersidang sebaik sahaja darurat berakhir pada 1 Ogos ini dengan notis makluman dikeluarkan sebelum tarikh berkenaan.

“Mematuhi pandangan dan ketetapan Perlembagaan Persekutuan ini penting supaya nanti tidak ada pihak yang mengamalkan prinsip pemerintahan 

Raja berperlembagaan serta berparlimen menuduh kita sebagai tidak mematuhi undang-undang tertinggi negara kita,” katanya.

Bagaimanapun, Rais berkata, setiap Ahli Parlimen seharusnya menggunakan medan persidangan di Parlimen untuk membahasakan dan membincangkan perkara yang memfokuskan kepada cara mengatasi COVID-19, bukan mencetuskan perdebatan berhubung isu sampingan.

“Soal isu sampingan tidak timbul sebab darurat diwujudkan tempoh hari semata-mata atas azam untuk mengatasi bahana COVID-19, jadi persidangan ini nanti mesti dibawa mesej utama isu terbabit.

“Memang boleh ahli menimbulkan perkara-perkara berbangkit tetapi mesti relevan dengan isu COVID-19, misalnya cara perbelanjaan sebenar, jenis-jenis suntikan, kematian, kebersediaan kita di kementerian berkaitan seperti pandangan dititah Agong,” katanya.

Ditanya aspek persediaan Parlimen untuk pembukaan semula Parlimen, Rais berkata tatacara ketika situasi COVID-19 perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita berjaga-jaga daripada bahana COVID-19 dan tidak sekali-kali mengabaikan SOP,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.