PRASARANA tawar aset bantu percepat proses PICK

41

17 JUN: Dalam membantu usaha kerajaan memerangi krisis kesihatan negara ketika ini, Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) menawarkan penggunaan asetnya bagi mempercepatkan proses vaksinasi rakyat dan menjadi pemacu kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PRASARANA, Datin Norlia Noah, berkata aset terbabit termasuk menerusi penggunaan platform pengiklanan kendaliannya, seperti skrin di stesen-stesen tren transit aliran ringan (LRT) dan monorel, selain aset digital di dalam bas serta tren.

Katanya, semua aset terbabit akan terus digunakan secara agresif sebagai sumber publisiti bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai kepentingan vaksinasi dan mempromosi Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini sebagai usaha membebaskan negara daripada COVID-19.

“PRASARANA amat komited untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi dan terbuka kepada perbincangan menjadikan bas-bas milik kami, terutama Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat vaksinasi bergerak bagi memudahkan pengambilan vaksinasi. 

“Buat masa ini, bas-bas kami turut digunakan kerajaan Pulau Pinang untuk pemindahan mereka yang disahkan positif COVID-19 ke pusat-pusat kuarantin ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM). 

“Kesemua kapten bas yang ditugaskan bagi kerja berkenaan sudah diberikan suntikan vaksin sebelum perkhidmatan bas dilaksanakan pada 9 Jun lepas, malah secara keseluruhan, semua staf barisan hadapan kami terlatih dalam penjagaan diri dan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pencegahan penularan pandemik ini,” katanya.

Selain itu, Norlia berkata, bagi memudahkan orang ramai tiba ke pusat vaksinasi dengan mudah, selesa dan selamat, PRASARANA sedia berbincang dengan KKM dan Kementerian Sains, Innovasi dan Teknologi Malaysia (MOSTI) untuk membuka pusat vaksinasi sementara di stesen LRT,

Jelasnya, stesen itu adalah Stesen LRT Putra Heights dan Stesen LRT Awan Besar yang mempunyai kemudahan serta kawasan parkir kereta luas.

Beliau berkata, pihak pengurusan sedang merancang pelan bagi menawarkan kepada staf PRASARANA untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di pusat vaksinasi dalam usaha membantu meringankan beban petugas barisan hadapan KKM ketika ini.

“PRASARANA juga sudah mula bekerjasama dengan KKM, MOSTI, Kementerian Pengangkutan (MOT), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) seawal bulan Mac 2020 untuk menghebahkan maklumat berhubung COVID-1, selain mengambil langkah kawalan serta pencegahan jangkitan,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.