Pelajar duduki peperiksaan diutamakan vaksin

31

17 JUN: Para pelajar yang akan menduduki peperiksaan akan diberi keutamaan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.

“Alhamdulillah. Cadangan KPM (Kementerian Pendidikan) agar murid kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang dipengerusikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin,” katanya di laman Facebook, hari ini.

RADZI

Beliau turut berkongsi rakaman video memaparkan Khairy dalam webinar dihoskan oleh Oxford and Cambridge Society of Malaysia, yang menjawab mengenai pemberian vaksin kepada kumpulan pelajar.

Radzi memaklumkan, lebih 90,000 guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin setakat ini.

Beliau berkata, KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik dan semua pihak perlu bersatu hati untuk memenangi perang menentang COVID-19.

Dalam pada itu, Khairy menyatakan mendapat mesej daripada Radzi berkaitan data peperiksaan tahunan membabitkan pelajar tingkatan lima dan enam.

“Kita mempunyai 357,000 pelajar dan 47,000 guru di Tingkatan Lima.

“Menteri bertanya sama ada kita boleh memberi vaksin kepada mereka terlebih dahulu supaya berpeluang kembali ke sekolah.

“Ia boleh diterima akal kerana pelajar ini akan berdepan peperiksaan awam dan Pfizer sudah diluluskan, maka kita akan berusaha ke arah itu,” katanya.

Kelmarin, penggunaan vaksin Comirnaty buatan Pfizer-BioNTech diluluskan bagi golongan berusia 12 tahun dan ke atas menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, kelulusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359.

Sebelum ini, vaksin Comirnaty diberi kelulusan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari lalu untuk tujuan imunisasi aktif kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.