Nilai semula keberkesanan sistem PdPR

70

KENYATAAN MEDIA

Wanita Barisan Nasional (BN) melahirkan kebimbangan akan impak ke atas sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah susulan daripada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang berlarutan sekarang.

Kami percaya situasi ini telah melebarkan jurang perbezaan antara pelajar daripada golongan yang berada dan kurang berada serta antara pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar.

Kaedah PdPR untuk sekolah rendah dan menengah adalah baharu dalam sistem pendidikan negara. Ia dilaksanakan tanpa sebarang perancangan yang teratur akibat daripada pandemik sejak tahun lepas.

Guru-guru tidak dilatih untuk mengendalikan pengajaran secara atas talian. Pelajar-pelajar juga tidak dapat ditaksirkan melalui pembelajaran atas talian.

Oleh yang demikian, keberkesanan PdPR mesti dinilai dengan segera bagi menepis sebarang penurunan secara mendadak kualiti sistem pendidikan negara. Proses pembelajaran murid-murid Tahun Satu dan Tahun Dua di peringkat sekolah rendah dipercayai terjejas teruk dalam tempoh pandemik ini.

Oleh yang demikian, saya mendesak Kementerian Pendidikan agar menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Perundingan terdiri daripada wakil tenaga pengajar semua aliran sekolah dan pakar-pakar pendidikan bagi mengubal satu rancangan dan strategi jangkamasa panjang pasca Covid 19.

Rancangan dan strategi-strategi ini harus menyelesaikan jurang perbezaan dan mereka bentuk satu strategi jangka masa panjang bagi memastikan kualiti pendidikan negara tidak dikompromikan oleh impak pandemik ini.

Datuk Norliza Abdul Rahim
Ketua Wanita Barisan Nasional Pulau Pinang
Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang
17 Jun 2021

Get real time updates directly on you device, subscribe now.