Hasrat kerajaan buka Parlimen selari dengan titah Agong

78

17 MEI: Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha bagi mengadakan persidangan Parlimen adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang mahu ia diadakan secepat mungkin.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohammed Azmin Ali berkata, kerajaan sentiasa memastikan apa jua tindakan atau usaha yang diambil berpegang pada undang-undang dan Perlembagaan Negara

Beliau yang juga Ketua Penerangan PN memaklumkan dalam konteks sidang Parlimen, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri selaku ketua majlis telah mengatakan beberapa hari lalu bahawa Parlimen akan bersidang.

“Kita tidak pernah mengatakan Parlimen tidak akan bersidang tetapi selaku ketua majlis, beliau bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan selain mengikut masa yang bersesuaian untuk mengadakan persidangan.

“Kita lihat beberapa tindakan telah diambil dalam tempoh setahun yang lalu, semuanya adalah berlandaskan kepada lunas perkembangan negara dan undang-undang.

“Jadi bagi saya titah Yang Di-Pertuan Agong adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen dalam masa yang sesuai supaya proses demokrasi ini akan terus disuburkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi petugas barisan hadapan sektor ekonomi (economic frontliner) di Bukit Jawi Golf Resort di Pulau Pinang, hari ini.

Semalam, Seri Paduka  menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al- Sultan Abdullah membuat keputusan berkenaan selepas Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara,semalam. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.