Sultan Johor hadiri Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja

23

16 JUN: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan berangkat ke Kuala Lumpur sebentar tadi bagi menghadiri Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara petang ini.

Keberangkatan Sultan Johor itu dimaklumkan menerusi Facebook rasmi baginda.

Menurut kenyataan terbabit, perbincangan khas Majlis Raja-Raja itu akan memperhalusi pandangan dikemukakan pemimpin parti politik kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 9 sehingga 11 Jun lalu.

Pandangan daripada 18 ketua parti politik kerajaan dan pembangkang itu adalah berhubung usaha memerangi penularan jangkitan COVID-19 dan pelaksanaan Darurat.

Sesi menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara itu dimulakan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, disusuli Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.