PKP penuh: 90 kilang ditutup dalam 14 hari

25

16 JUN: Kerajaan sudah mengarahkan sebanyak 90 kilang ditutup dalam tempoh 14 hari bermula 1 Jun lalu, selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata tindakan itu dikenakan pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang melakukan pemeriksaan ke atas 404 buah kilang.

“Secara kumulatifnya, sebanyak 24,834 kilang dan premis perniagaan diperiksa sejak 14 Januari 2021, membabitkan 22,819 premis perniagaan dan 2,015 kilang.

“Malah sehingga kini, sebanyak 143 kilang dan 17 premis bukan kilang diarahkan tutup.

ISMAIL SABRI

“Dalam usaha memastikan sektor perkilangan dan perniagaan mematuhi SOP sepanjang PKP penuh, kerajaan meningkatkan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana- mana pihak didapati melanggar peraturan diwartakan itu,” katanya menerusi kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  sudah melaksanakan sebanyak 597,252 pemeriksaan dan mengeluarkan sebanyak 414 kompaun secara kumulatif sejak 13 Mei lalu. 

“Manakala pada 15 Jun 2021, sebanyak 1,428 pemeriksaan pematuhan harian dilaksanakan dan sebanyak 22 kompaun dikeluarkan ke atas premis-premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP PKP,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 6 Jun sehingga 14 Jun lalu, MKN menerima sebanyak 266 aduan mengikut kategori yang memerlukan tindakan penguatkuasaan daripada pelbagai kementerian atau agensi. 

“Jumlah aduan tertinggi direkodkan adalah membabitkan pelanggaran arahan had peratusan kehadiran pekerja ke premis pekerjaan, iaitu sebanyak 62 aduan, non-essential (tidak penting) (50 aduan) dan ketidakpatuhan SOP am (45) aduan.

“Sebarang aduan boleh disalurkan terus kepada Malaysian Government [email protected] atau emel ke aduan.pematuhan.mkn.gov.my,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sudah membuat 138 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, 43 tapak binaan beroperasi, manakala 95 lagi tidak beroperasi.

“Padapemeriksaan itu, CIDB mendapati 31 tapak binaan mematuhi SOP manakala 12 lagi diarahkan tutup dan secara keseluruhannya, CIDB sudah melakukan 18,932 pemeriksaan membabitkan 10,864 tapak binaan sejak 20 April 2020,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai 841 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 821 individu dikompaun, manakala 20 individu direman. 

“Kesalahan tertinggi direkodkan adalah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan di premis, iaitu sebanyak 170 individu, diikuti tiada penjarakan fizikal (165), tidak memakai pelitup muka (157), gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (103) dan tidak patuh arahan kawalan pergerakan (91).

“Membawa penumpang berlebihan pula merekodkan 87 individu, selain aktiviti pusat hiburan (32), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (24). – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.