Lapangan terbang baharu Mukah beroperasi mulai esok

69

16 JUN: Lapangan terbang baharu Mukah bakal mencatat sejarah apabila mula beroperasi secara rasmi, esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata lapangan terbang yang dibina mulai 11 Ogos 2017 itu akan menyaksikan pendaratan pertama pesawat MASwings MH3553 DHC6 Vikings dari Miri pada jam 9.10 pagi dan penerbangan pertama MH3412 ke Kuching pada 9.30 pagi.

“Projek pembinaan lapangan terbang itu di lokasi baharu tujuh kilometer dari pusat bandar Mukah bagi menggantikan STOLport Mukah dengan kapasiti 265,000 penumpang setahun,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Lapangan terbang ini mempunyai kemudahan baharu yang memberikan keselesaan kepada pengguna.

Katanya, lapangan terbang itu antara lain dilengkapi bangunan terminal baharu seluas 3,125 meter persegi, landasan sepanjang 1,500 meter dan lebar 30 meter, sistem pemantauan angin dan jarak penglihatan landasan, sistem navigasi radio dan sistem pencahayaan pendekatan sederhana.

Jelas Ka Siong, Lapangan Terbang Baharu Mukah direka bentuk untuk memberikan keselesaan dan menepati kehendak rakyat Mukah menggunakan perkhidmatan udara luar bandar yang menjadi nadi kepada pergerakan penumpang dan barangan di kawasan terbabit.

“Lapangan terbang baharu ini akan menyokong pembangunan di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dengan memudahkan pergerakan sektor perdagangan dan eksport produk tempatan di daerah Mukah.

“Pembangunan Lapangan Terbang Baharu Mukah juga akan menyokong pembangunan daerah itu sebagai hab pendidikan, pusat penyelidikan serta aktiviti di Taman Perindustrian Matadeng,” katanya.

Beliau berkata, pengoperasian lapangan terbang itu diharap dapat memudahkan akses pembekalan vaksin COVID-19 ke kawasan pedalaman seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan dalam membina imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.