Kerajaan disaran beri vaksinasi di lokasi PKPD

33

16 JUN: Kerajaan Persekutuan dicadangkan agar melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 di kawasan yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mempercepatkan imuniti kelompok.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata langkah itu antara kaedah terbaik kerajaan untuk mempercepatkan lagi program imunisasi di Sabah.

”Selain pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV), salah satu kaedah terbaik ialah memberikan vaksin kepada penduduk di kawasan yang dikenakan PKPD.

BUNG MOKTAR

”Langkah ini perlu bagi meningkatkan lagi bilangan penerima vaksin sekali gus mempercepat dan membentuk imuniti berkelompok di kawasan PKPD berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, usaha berkenaan wajar diberi perhatian kerana penduduk di kawasan PKPD adalah golongan yang berisiko dan sekiranya tidak dilaksanakan ia dikhuatiri akan mencetuskan lagi kluster baharu.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pemberian vaksin haruslah diberikan kepada penduduk yang mendapat keputusan negatif COVID-19 bagi memastikan mereka mempunyai ‘pelindungan diri’ seterusnya mengawal wabak berkenaan merebak setelah PKPD ditamatkan.

”Memandangkan petugas kesihatan akan berada di lapangan atau di lokasi PKPD bagi menjalani ujian saringan COVID-19 alangkah baiknya sekiranya program pemberian vaksin juga dijalankan serentak selepas mereka disahkan negatif.

“Jika ujian pengesanan COVID-19 dan juga pemberian vaksin dilaksanakan dalam satu masa, bukankah ini lebih mempercepatkan usaha kita membentuk imuniti kelompok dan tidak mustahil mampu menurunkan bilangan kes penularan di negeri ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.