i-Guru minta kerajaan percepat vaksinasi guru kelas peperiksaan

18

16 JUN: Ikatan Guru- Guru Muslim (i- Guru),  meminta kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada guru kelas peperiksaan dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Presidennya Mohd Azizee Hasan berkata langkah berkenaan selari dengan pengumuman  Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berhubung kelulusan Vaksin Covid-19, Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kegunaan individu berumur 12 tahun dan ke atas di  dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kali Ke-359 Berkenaan Pendaftaran Vaksin Covid-19, semalam.

Beliau berkata pengumuman Dr Noor Hisham berkenaan memberi sinar baik untuk diutamakan suntikan vaksin kepada pelajar- pelajar yang bakal menduduki SPM 2021 sebagaimana cadangan pihak i- Guru sebelum ini.

“Ini penting bagi membolehkan sesi persekolahan untuk pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM pada tahun hadapan dapat memulakan sesi persekolahan secara bersemuka seawal yang mungkin.

“Pihak i- Guru sekali lagi menggesa agar disegerakan suntikan vaksin kepada guru- guru yang terlibat dengan kelas peperiksaan supaya sesi persekolahan dapat dimulakan secepat yang mungkin dan jaminan kesihatan serta keselamatan mereka terjamin,” katanya ketika dihubungi wartawan PN BBC di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan berhubung kelulusan suntikan vaksin ini diharap memberikan harapan baik kepada pelajar SPM 2021 untuk lebih bersedia dan melegakan kebimbangan serta kerisauan ibubapa terhadap anak- anak mereka.

Beliau berkata i-Guru yakin penyegeraan vaksinasi ini membolehkan operasi sekolah dan sesi pembelajaran bersemuka dapat dibuka awal sekaligus mengelakkan jurang keciciran pendidikan dan merendahkan motivasi murid untuk menghadapi peperiksaan.

Terdahulu, media melaporkan mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359 telah bersidang semalam, bersetuju memberikan kelulusan bersyarat  bagi dua  produk vaksin yang memerlukan hanya satu dos pelalian untuk kegunaan waktu bencana.

Ketua Pengarah Kesihatan dipetik sebagai berkata dua vaksin berkenaan Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), keluaran CanSino Biologics Inc, China (pemegang pendaftaran produk: Solution Biologics Sdn. Bhd.) dan Janssen COVID-19 Vaccine keluaran Johnson & Johnson yang telah diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (Emergency Use Listing atau EUL) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Noo Hisham berkata pendaftaran Janssen COVID-19 Vaccine yang diperolehi oleh kerajaan Malaysia melalui fasiliti COVAX ini dilaksanakan melalui mekanisme perakuan (recognition) ke atas kelulusan WHO EUL.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.