COVID-19 : Kes baharu kekal di paras 5,000

45

16 JUN: Walaupun masih di paras 5,000 kes, namun jangkitan baharu COVID-19 mencatatkan penurunan kes sebanyak 5,150 berbanding semalam iaitu 5,419 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 667, 876 kes.

Menurut beliau, Selangor masih kekal penyumbang tertinggi kes jangkitan harian COVID-19 dengan 1,914 kes hari ini namun susut berbanding semalam 1,996.

“Negeri Sembilan pula mencatatkan lonjakan kes kepada 607 berbanding 396 semalam manakala Sarawak menyaksikan 507 kes, Kuala Lumpur (480) dan Johor (392) serta Kelantan dan Kedah, masing-masing 230 dan 228 kes.

“Negeri-negeri yang merekodkan dua digit pula ialah Perak (66) dan Pulau Pinang (99) manakala Putrajaya dan Perlis pula mencatatkan satu digit, masing-masing enam dan lapan kes,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, menerusi hantaran berbeza, Noor Hisham memaklumkan kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di negara ini kembali mencatatkan peningkatan sejak tiga hari lalu kepada 0.94 semalam, namun angka itu belum membimbangkan kerana masih di bawah 1.0

Beliau berkata, data menunjukkan nilai Rt meningkat tiga hari berturut-turut daripada 0.91 pada Ahad lalu kepada 0.92 pada Isnin dan 0.94 semalam selain menunjukkan tujuh negeri mencatat nilai Rt melebihi purata kebangsaan semalam, iaitu antara 0.96 hingga 1.05.

“Nilai Rt tertinggi 1.05 dicatatkan oleh Labuan, disusuli Sabah (1.04), Negeri Sembilan (1.03), Sarawak (1.01), Kuala Lumpur (0.99), Johor (0.97) dan Selangor (0.96).
” Negeri lain pula mencatat nilai Rt antara 0.76 hingga 0.89, dengan Kelantan mencatat Rt terendah,” katanya. 

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Sementara itu, menerusi hantaran sama, Noor Hisham yang turut berkongsi graf menunjukkan penularan wabak COVID-19 mula menunjukkan trend menaik, selaras peningkatan Rt selama tiga hari berturut-turut.

Graf itu menunjukkan, jumlah kes harian berpotensi turun sehingga mencecah bawah 4,000 kes menjelang hujung bulan ini.

Bagaimanapun, peningkatan Rt ketika ini menyaksikan kes harian berisiko kembali meningkat jika tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkurangan dan jumlah kes harian kembali meningkat. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.