Bukti PN pertahan demokrasi berparlimen

39

16 JUN: Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan betapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa istiqamah dalam mempertahankan konsep demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata Perdana Menteri menyatakan dengan tegas bahawa beliau mahu Parlimen dibuka sebaik keadaan ketika itu membenarkan.

“Ini adalah sikap Tan Sri Muhyiddin sejak dari awal lagi. Seingat saya, sejak dari permulaan darurat lagi beliau sudah bercakap mengenai bagaimana hendak memastikan Parlimen bersidang segera dan kini garis masa telah diumumkan. 

“Saya menyeru rakyat dan pemimpin masyarakat semua peringkat supaya mendukung pelan itu dan terus mendaftar vaksinasi.

BAGI membolehkan Parlimen bersidang awal, rakyat perlu mendaftarkan diri untuk menerima vaksinasi.

“Patuhi prosedur operasi standard (SOP). Bantu sesama kita setakat yang termampu. Hanya dengan bergerak bersama, kita boleh menang bersama,”katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini. 

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan telah merangka Pelan Pemulihan Negara dengan membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat.

Beliau berkata, pelan tersebut mempunyai empat fasa dengan tiga petunjuk atau ‘Tiga Indikator Ambang Utama’ iaitu angka kes harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan populasi lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

Muhyiddin turut menegaskan bahawa pelan berkenaan adalah satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa ataupun back to normalcy.

Dalam pada itu, Wan Saiful memberitahu Pelan Pemulihan Negara juga menunjukkan keprihatinan kerajaan PN terhadap cabaran dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik COVID-19, di mana hanya boleh diselesaikan dengan cara mengembalikan negara kepada kehidupan harian biasa.

Beliau turut tertarik apabila Perdana Menteri menyatakan bahawa berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan, kes harian boleh mencecah 13,000 kes sekiranya PKP tidak dilaksanakan, sedangkan bilangan kes positif mula ke bawah 5,000.

“Ini adalah satu data yang penting. Ia bermaksud langkah yang diambil oleh kerajaan menyelamatkan lebih 8,000 orang. Data ini menunjukkan strategi kerajaan sebenarnya berjaya. 

“Perkara itu memerlukan keseimbangan antara kesihatan dan kelangsungan ekonomi. Pelan ini menjadi peta bagaimana kita akan menjaga keseimbangan untuk segera keluar daripada krisis yang sedang dihadapi,” katanya. 

Justeru, beliau mencadangkan supaya setiap kali data mengenai bilangan kes positif diumumkan, ia mestilah diumumkan sebagai perbandingan dengan unjuran jika tiada PKP pada hari atau minggu itu.

“Mereka yang biasa dengan metodologi perbandingan statistik pasti akan maklum mengenai kepentingan perbandingan dengan “control group” dalam mengukur keberkesanan sesuatu intervensi. Unjuran itu boleh menjadi data kawalan,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful memaklumkan, dalam usaha bersama menjayakan pelan berkenaan, BERSATU giat menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu rakyat.

“Setiap hari BERSATU mengedarkan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka yang terkesan oleh COVID-19 melalui bahagian dan cawangan parti di seluruh negara.

“Kempen pendaftaran vaksinasi turut digerakkan, di samping khidmat sukarelawan parti untuk membantu operasi Pusat Pemberian Vaksin di pelbagai lokasi. Semua ini adalah sumbangan langsung BERSATU untuk membantu rakyat dan akan diteruskan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.