Tun Arifin menghadap Agong pagi ini

24

15 JUN: Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Arifin Zakaria tiba di Istana Negara pada jam 9.45 pagi ini, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bekas Ketua Hakim Negara itu dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara menggunakan kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam.

Sesi menghadap terbabit berlangsung selepas siri sembah maklum 15 wakil parti kerajaan dan parti pembangkang yang berlangsung pada Rabu dan Jumaat lalu serta semalam.

Pejabat Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diperngerusikan Tun Arifin ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Keanggotaannya terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.

Selepas sesi menghadap itu, Tun Arifin dijadualkan bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.