Sabah cadang teruskan darurat pada Agong – Jeffrey

35

15 JUN: Sabah perlu terus diletakkan di bawah Proklamasi Darurat sehingga situasi penularan COVID-19 di Malaysia benar-banar stabil biarpun perintah berkenaan akan tamat pada 1 Ogos depan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata beliau mengutarakan cadangan berkenaan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menerusi persidangan video, semalam.

Kitingan berkata, penularan gelombang ketiga COVID-19 di Sabah yang tercetus akibat Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada September tahun lalu perlu dijadikan pengajaran agar tidak berulang semula.

“Saya mencadangkan kepada tuanku bahawa status darurat harus dikekalkan buat sementara waktu sehinggalah situasi stabil. Isu lain seperti isu keselamatan dan politik akan selesai dengan sendirinya.

JEFFREY

“Saya juga menekankan pengajaran yang kita semua harus ambil dari Sabah yang mana PRN-16 pada September tahun lalu mencetuskan gelombang ketiga COVID-19 di Malaysia. Walaupun sudah hampir sembilan bulan, gelombang ketiga ini belum menunjukkan tanda-tanda akan reda,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata situasi pandemik COVID-19 di Malaysia tidak boleh dilihat secara terpisah, sebaliknya perlu juga dibandingkan dengan situasi di negara lain.

Malaysia bukan satu-satunya negara di dunia yang mengisytiharkan darurat untuk menangani krisis, malah lebih 70 negara lain mengambil langkah sama untuk memerangi COVID-19.

Sementra itu, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri berkata, langkah proaktif perlu diambil bagi mempercepat program vaksinasi COVID-19 di Sabah yang ketika ini masih perlahan disebabkan pelbagai faktor termasuk sistem telekomunikasi yang lemah dan kemudahan infrastruktur yang tidak memuaskan.

“Ada keperluan mendesak untuk meningkatkan program kesedaran vaksinasi dan kerajaan Sabah melakukan segala yang termampu untuk membantu rakyat, baik secara sosial mahupun ekonomi.

“Pada pendapat saya, pusat vaksinasi harus lebih mudah diakses dan semua klinik kesihatan awam, swasta dan desa harus mempunyai akses bekalan vaksin,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar Kementerian Kesihatan mencontohi negara lain seperti India dengan menyediakan perkhidmatan vaksinasi bergerak di kawasan luar bandar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.