PKP Penuh berjaya elak malapetaka

48

15 JUN: Kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di seluruh negara bagi menjaga nyawa rakyat dan kepentingan ekonomi negara.

PKP tersebut yang bermula dari 1 Jun hingga 14 Jun lalu dilanjutkan lagi untuk tempoh dua minggu sehingga 28 Jun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PKP menyeluruh untuk Fasa Pertama ini dilaksanakan setelah mengambil kira penularan kes COVID-19 dalam komuniti, kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi yang mengancam keupayaan sistem kesihatan awam negara kita.

Muhyiddin berkata kerajaan juga mengambil kira Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) masih dalam peringkat awal pelaksanaannya di samping bekalan vaksin yang dijangka lebih stabil mulai bulan ini.

“Keputusan melaksanakan PKP secara menyeluruh ini telah berjaya mengelakkan berlakunya peningkatan kes-kes baharu secara lebih mendadak atau exponential surge of new cases. Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat unjuran sekiranya PKP tidak dilaksanakan, kes harian COVID-19 di negara kita mencecah lebih 13,000 kes pada hari ini dan seluruh sistem kesihatan kita akan runtuh.

“Namun Alhamdullilah, dengan pelaksanaan PKP Fasa Pertama ini kita dapat menyaksikan graf jangkitan kes COVID-19 telah mula menunjukkan trend melandai dengan mencatatkan 4,949 kes semalam berbanding 9,020 kes pada 29 Mei 2021, iaitu kes harian tertinggi yang dicatatkan di negara kita.

“Sistem kesihatan negara kita juga masih mampu menampung kes-kes baharu di samping mencatatkan jumlah pesakit sembuh yang tinggi. Ini menunjukkan tindakan yang diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil. We have avoided a catastrophe,” katanya dalam perutusan sempena pelancaran Pelan Pemulihan Negara disiarkan secara langsung menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata keputusan melaksanakan PKP ini bukanlah sesuatu yang mudah. Dari segi ekonomi, negara kita kehilangan RM1 bilion ringgit sehari sepanjang PKP dilaksanakan pada masa ini.

Muhyiddin berkata sebelum ini beliua mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan PEMERKASA Plus bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion.

“Saya berharap bantuan daripada kerajaan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan yang terkesan. Namun, kita tidak boleh berterusan begini. Demi kesihatan dan kelangsungan hidup kita semua, kita perlu segera keluar daripada krisis ini,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.