Pereka fesyen ZARA sokong Israel dikecam hebat

99

15 JUN: Walaupun tindakan tentera Israel menyerang Palestin dikecam ramai kerana disifatkan amat tidak berperikemanusiaan, masih ada pihak dilihat membela dan cuba ‘memenangkan’ rejim Zionis.

Terbaharu, jenama fesyen terkemuka, ZARA menjadi sasaran kemarahan orang ramai selepas seorang pereka seniornya didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk retorik anti-Palestin.

Menerusi komen balas terhadap entri pro-Palestin dimuatnaik seorang model berketurunan Palestin, Qaher Harhash di media sosial, pereka itu yang juga Ketua Pereka Fesyen (wanita), Vanessa Perilman didakwa menulis status berunsur kontroversi.

“Mungkin jika bangsa anda terdidik dengan baik, mereka tidak akan meletupkan hospital dan sekolah dibiayai Israel di Gaza.

“Orang Israel tidak mengajar kanak-kanak membenci atau melempar batu ke arah tentera seperti dilakukan orang Palestin.

“Mereka dalam industri fesyen tahu kebenaran tentang Israel dan Palestin serta saya tidak akan berhenti membela Israel, malah orang seperti anda akan datang dan pergi akhirnya,” katanya.

Perilman kemudian memadam akaun Instagram dan laman media sosial lain miliknya selepas kenyataan balas itu tersebar.

Susulan tindakannya mengeluarkan komen itu, warganet mengemukakan aduan rasmi kepada ZARA, namun jenama terbabit belum mengambil tindakan, termasuk ke atas Perilman.

Pihak ZARA sebaliknya membalas isu berkenaan menerusi kenyataan dengan memaklumkan Perilman sudah “meminta maaf” dan diterima Harhash.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.